Mengingati mati,

Assalamualaikum w.b.t.

Sahabatku Aimi Diyana dan Nur Izzati, ingatlah sanad dibawah yang kita perolehi semasa Ramadhan 1472 H bersama-sama di CFS untuk mengamalkan Ratib al-Haddad dan melaluinya juga ijazah semua mu'allafat/karangan Imam al-Haddad. Satu daripada sanad kita yang jumlahnya 15:

Murabbi wa Syaikhuna, Ustaz Muhadir bin Hj Joll menerimanya daripada Naib Munsib al-Haddad, Habib Muhsin bin Habib Hamid al-Haddad, beliau menerimanya daripada ayahandanya, Habib Hamid al-Haddad, beliau menerimanya daripada ayahandanya, Habib Husain, beliau menerimanya daripada ayahandanya, Habib Ahmad, beliau menerimanya daripada ayahandanya, Habib Abdul Qadir, beliau menerimanya daripada ayahandanya, Habib Ahmad, beliau menerimanya daripada ayahandanya, Habib Abdur Rahman, beliau menerimanya daripada ayahandanya, Habib Ahmad, belia menerimanya daripada ayahandanya, Habib Hasan bin Abdullah al-Haddad, beliau menerimanya daripada ayahandanya, Shohib ar-Ratib, Quthub al-Irsyad wa Ghauth al-'Ibad wa al-Bilad, Al-Imam Abdullah bin Alawi al-Haddad.





Alhamdulillah, kitab al-Haddad sudah habis dipelajari secara talaqqi di Madrasah an-Nur.

Walaupun tidak berkesempatan mengadiri setiap talaqqi, namun alhamdulillah, berada di situ waktunya kitab tamat dibaca dan disyarah Habib Ali.

Dan salah satunya perkara yang membuatkan diri tersenyum setiap kali bayangan CFS di hadapan mata, adalah kerana peluang untuk menghadiri talaqqi dan majlis ilmu bermula di sini.

Imam Al-Haddad mengakhiri kitab al-Haddad dengan bab 'Sentiasa Mengingati Mati.' Sedikit sebanyak apabila difikir-fikir, terasa sungguh maut itu dekat dengan diri. Malah dekat dengan setiap manusia di bumi ini. Awak, mereka dan semuanya. Tahun ini saja, pabila ditanya akan umurku, tidak lagi boleh dijawab 17. Bukan lagi 18 tahun. Malah Amirah Hazwani sudah 19 tahun. Tahun depan, insyaAllah, beranjak ke umur 20 tahun.

Sehinggakan ada yang bertanya, “Sudah bersediakah untuk berkahwin pada umur 20 nanti?”
Pantas saja menjawab, “InsyaAllah, kalau benar jodoh.”

Ketika berbicara tentang mati, dikatakan, jangan dipanjangkan amal (cita-cita) di dunia namun mestilah giat bersungguh-sungguh melakukan 'amal.

Oleh itu setakat ini diri tidak menaruh harapan terlalu tinggi lagi untuk double major, pekerjaan, perkahwinan dan apa seumpama dengannya yang melibatkan masa hadapan yang semua tahu, kita tidak tahu apa akan berlaku ditengah-tengahnya. Apakah yang akan berlaku di antara cita-cita itu dan masa sekarang? Mungkin, kita akan mati.

Imam Ghazali r.a. di dalam kitab Bidayah mengumpamakan jika seseorang itu hidup 60 tahun, maka orang itu telah tidur selama 20 tahun.

Kerana tidur 8 jam sehari itu adalah tidur satu pertiga hari.

Imam Ghazali r.a. juga mengingatkan untuk tidak memanjangkan angan-angan kerana hal yang demikian membuatkan kita malas untuk beribadat. Mestilah juga sentiasa mengingati mati dan memaksa diri melakukan ketaatan maka kita akan bergembira ketika mati.

Lalu yang manakah kita akan pilih, dunia atau akhirat?

Ada saatnya, ketika zaman setelah tamatnya SPM lalu bekerja di kantin, selalu sangat menghadapi kemalangan kecil. Tangan terkena periuk panas, minyak panas terpercik dan sebagainya. Kebanyakannya akibat cuai dan ada jua yang berlaku memang tak disangka. Satu yang selalu dikatakan oleh rakan sekerja, “Sakit itu menghapuskan dosa-dosa kecil kita. Tandanya Allah sayang kita.”

Pada ketika itu pastilah yang difikir hanyalah sakit, sakit, sakit.

Namun, setelah kesakitaan itu hilang dan akal boleh berfikiran waras, teringatlah kata-kata itu. Hinggakan sekarang. Petandanya diri sebagai manusia sering dengan sedar mahupun tidak, melakukan dosa.

Astaghfirullah.


Cukup-cukuplah dengan dunia, bersederhanalah di dalam kesenangan sementara.
Bekejar-kejarlah melakukan 'amal soleh, bersabarlah untuk kesenangan yang hakiki.

“Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan (mereka).” [Yasin: 55]

Wallahua'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Tips Kewangan Houseman - Langkah Pertama.

Majmu' Syarif.

Tips Kewangan Houseman - Langkah Kedua.