Biarlah rahsia.


Assalamualaikum w.b.t

Ada sesetengah perkara, yang lebih baik, untuk kita tidak tahu.
Ada perkara, yang lebih baik, untuk tidak diungkapkan.

Kerana hati yang mendengar akan tersentuh.
Kerana mata yang menerima tindak balas akan menangis.

Dan siapa kata menangis itu mudah bagi wanita?


Ada pula yang kata, kebenaran itu perlu diluahkan walaupun pahit.
Benarkah?

Sudah agak lama tidak menulis, sedikit terpaku. Hari-hari yang berlalu di minggu pertama ini sibuk sekali dengan itu dan dengan ini. Sibuk dengan dunia, bertanya jua tentang dunia.

Ada perkara, yang tidak perlu kita tahu.

Pernahkah kamu mendengar cerita, kenapa air laut pasang surut?
Ketika sedang diam tidak tahu hendak berkata apa, ada yang memberitahu akan diriku perihal itu.

Kisahnya begini.

Pada satu masa dahulu, di dalam laut, ada seekor ikan paus yang sangat besar. Ikan paus ini suka makan gula-gula. Akan tetapi, persisiran pantai dengan kedai yang menjual gula-gula sangat jauh. Ikan paus pula tidak mungkin mampu melintasi pantai kerana air yang sedikit. Lalu ikan paus pun bersedih, dan menangis.

Air mata ikan paus sangat banyak sehinggalah air laut yang surut menjadi pasang. Ada seorang kanak-kanak melihat keadaan ini lalu berkata,

“Alamak, air laut dah naik. Kita kena bagi ikan paus gula-gula.”

Lalu gula-gula pun dilemparkan ke laut membuatkan ikan paus berhenti menangis dan air laut menjadi surut kembali.

Kata yang bercerita itu,

“Kalau nampak air laut pasang, balinglah gula-gula dalam laut.”



Dan ketika hari ini apabila teringat kisah itu, terfikir. Kalau tangisan ikan paus boleh dihentikan dengan pemberian gula-gula yang disukainya, tangisan manusia pula bagaimana?
Selalu begini, manusia sering memikirkan tentang diri sendiri, termasuklah diriku. Setiap kali saja bersedih, hanya diri yang benar. Akan ku kata untuk menyedapkan hati, dunia ini kejam. Kenapa perlu membuatkan diri bersedih? Apa salahku? Apa salahku?

Sedangkan, tidak pernah terfikir tentang perasaan orang lain.

Cubalah lihat sekeliling, lihat rakan, keluarga, sesiapa sahaja. Yang tersenyum mahupun tidak, apakah sebenarnya di dalam hati masing-masing?

Jika mungkin, kita melihat mereka tersenyum, mungkin mereka baru sahaja lepas bersedih dan cuba menyembunyikannya.
Jika mungkin, kita melihat mereka marah, mungkin masalah yang dihadapi terlampu banyak hingga tidak tahu hendak berbuat apa.
Jika mungkin, kita melihat mereka menangis.

Jarang sekali kita melihat mereka menangis bukan?

Tapi jika mungkin, apakah yang perlu untuk menghentikan tangisan itu?

Diri tidak tahu akan manusia lain. Namun, jika ditanya kepadaku.
Masalahku seperti pengiraan Fizik. F=ma. Sama ada m mahupun a yang bertambah nilainya, F juga akan bertambah. Dan bagiku F itu Ice Lemon Tea.

Kadang-kadang orang melihat, “Oh, dia melakukan sesuatu itu secara kerap kerana itu kesukaannya.” Namun sebenarnya tidak. Pernahkah mendengar ada yang tidur untuk menghilangkan kelaparan? Pernahkah mendengar ada yang suka bermain piano untuk menghilangkan sakit kerana barah yang dihadapi? Adakah pernah mendengar orang membaca al-Quran kerana hendak bertemu kebenaran?

Walaupun Ice Lemon Tea tidak menghilangkan masalah, namun...
Benar, ada perkara yang lebih baik untuk kita tidak tahu.

Wallahua'lam.

Comments

Post a Comment

بسم الله الرحمن الرحيم

Popular posts from this blog

Tips Kewangan Houseman - Langkah Pertama.

Majmu' Syarif.

Tips Kewangan Houseman - Langkah Kedua.