Buat mereka.


Assalamualaikum w.b.t.

Buat sahabat, yang ku cintai kerana Allah untuk Allah.
Buat Nur Izzati, Aimi Diyana, Nur Khairunnisa', Fatihah Izzah, Nurul Nasuha dan Fathin Athirah.

Saatnya diri melangkah ke CFS IIUM, niatku terbahagi kepada beberapa.
Yang paling utama, diri ke sini kerana Allah.
Kemudiannya, diri ke sini untuk menimba ilmu.

Dan, diri ke sini untuk mencari rakan seperjuangan seIslam.

Sahabat,
semenjak hari pertama, ada dua saja manusia yang ku tahu dan ku kenal. Kedua-duanya dari sekolah lamaku dan diizinkan bertemu di sini walau berbeza pengajian. Kemudiannya, empat lagi ku berjumpa dari sekolah yang satu lagi dan hanya seorang sama pengajian denganku.

Teringat saat, ketika duduk di dalam bilik, menghafal satu persatu nama kalian. Izzati dan Aimi ku kenal di bilik, yang lainnya di bilik sebelah. Entah kenapa, tergerak hati untuk berkenalan walaupun hakikatnya hati lebih senang sendiri.

Sahabat,
sepanjang semester pertama, kawan yang ada hanyalah kalian dan rakan sekelas. Hampir setiap hari kita bertemu. Manakan tidak hati mulai sayang, kerana sungguh persahabatan kita kerana Allah.

Wahai Aimi Diyana,
senyumanmu menyerikan hari. Pemergianmu memberikan bekas di hati.

Wahai Nur Izzati,
kepetahanmu menggembirakan diri. Ketabahanmu bagaikan seorang srikandi Ansar bagi diri.

Wahai Fatihah Izzah,
keinginanmu bukti seorang muslimah. Pemahamanmu terhadap diri mendorong perjalanan.

Wahai Nur Khairunnisa',
hafalanmu akan agama menambat jiwa. Keceriaanmu membuah bahagia.

Wahai Nurul Nasuha,
diammu tidak banyak bicara. Bukti kelembutan yang berada di dada.

Wahai Fathin Athirah,
bersih di mata bersih pada imanmu. Merungkai jalan permulaan hidayah.

Sahabat,
kali ini ku menulis kerana tahu, kadang-kadang perasaan itu patut diluahkan. Keenam kalian ku cintai kerana Allah. Akan diizinkan Allah, satu hari kalian akan terbaca tentang ini. Ketahuilah, diri masih di sini.

Ku tahu dan ku sedar, sikap kita sedikit berbeza. Lebih suka sendiri dari berkumpul bersama. Lebih suka diam dari banyak berbicara. Namun ketahuilah, tiada siapa lagi di bumi Taman Ilmu dan Budi ini yang ku cintai melebihi kalian. Keluargaku tiada di sini, rakan seperjuangan dahulu bertebaran di seluruh Malaysia. Hanya diri di sini, mengharapkan setitik kasih dari teman sejati.

Sahabat,
seorang muslimah itu fitrahnya berlemah lembut. Sekalipun garang mananya kita, masih lembut jika dibandingkan dengan muslimin. Bagaikan air di waktu tenang, kekal tenang walaupun beribu batu menjunam walau berkecamuk seketika. Ku pinta dan ku doa, setiap ujian yang melanda, diri dan kamu semua mampu menghadapi dengan penuh keimanan dan ketabahana dengan izin Allah.

Buatlah sesuatu bukan kerana manusia. Tinggalkan sesuatu bukan kerana manusia. Buatlah sesuatu lillahita'ala. Tinggalkan sesuatu lillahita'ala.

Maafkan khilaf kerana jarang sekali berbicara hati ke hati dengan kalian. Kerana sudah tertanam, cintaku terhadap makhluk tidak lebih dari cintaku terhadap Allah. Sukar sekali bagi diri ini untuk berbicara permasalahan kepada manusia, kerana Dia ada untuk mendengar. Semoga saja kita mendapat keredhaanNya.

Seperti mana kita dipertemukan dengan izin Allah.
Satu hari nanti kita akan berpisah dengan izin Allah.

Syukran wa 'asif 'ala kulli hal. Innallaha ma'ana.

Wallahua'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Tips Kewangan Houseman - Langkah Pertama.

Majmu' Syarif.

Tips Kewangan Houseman - Langkah Kedua.