Roti, tamar dan nasi.

Assalamualaikum w.b.t.


Ingin ku katakan di sini, bahawa diri mudah sekali terasa.
Maaf jika selalu berdiam, dan mungkin menjauhkan diri.






Alhamdulillah, sudah ku khatam Panduan Bagi Hafiz-Hafizah & Qari-Qariah yang ditulis Hj Abu Najihat al-Hafiz. Bukunya sudah ku pulangkan ke perpustakaan petang tadi. Bab 1 hingga 5 sudah ku baca, melainkan bab yang ke 6 itu kerana ia menerangkan tentang ayat-ayat mutasyabihat. Untuk bab yang satu itu diri memutuskan akan lebih mempelajarinya dengan syarat sudah menghafal al-Quran mengikut juz yang ditetapkan hati dan juga berguru.


InsyaAllah, dipermudahkan.






Hari Rabu, malam Khamis, berkesempatan berjumpa Syeikh Muhammad Husni Ginting Al-Langkati Ash-Shafi'e Al-Husofi di dewan bawah masjid di CFS ini untuk periwayatan hadith musalsal. Periwayatan ini kali kedua bagiku. Yang pertama diriwayatkan oleh murabbi, Ustaz Muhadir bin Joll dan daripadanya mendapat dua hadith musalsal dalam masa satu jam. Bersama Syeikh pula, alhamdulillah mendapat sepuluh hadith musalsal sepanjang masa setelah solat Isya' berjemaah hingga 11 malamnya.


Diri berpegang pada; jika ilmu bertambah, maka amal pun bertambah.


InsyaAllah, dipermudahkan.






Di dunia ini, hanya dua sahabat yang lebih sering menanyakan kepadaku satu perihal berbanding yang lain dan soalannya, "Sudah makan nasi ke belum?" Dan yang bertanya itu mengetahui siapa dirinya.


Kadang-kadang, terasa lucu dengan pertanyaan. Namun begitu, benar juga apa yang ditanya. Setelah mungkin lebih kurang 48 jam tidak makan nasi, ku santap juga sedikit tadi kerana menolong rakan membelinya. Terasa pula hendak makan. Begitulah, jika hari tidak puasa. Senang saja membeli nasi walaupun sedikit. Jika puasa, roti dan tamar menjadi teman setia. Sebenarnya, nafsu makan masih belum ditewaskan sepenuhnya. Nafsu tidur mula menguasai. Sedih sendiri mengingatkan asyik tidur sahaja. Walaupun sudah dihadkan maksimum 8 jam sehari, tetapi 8 jam itu sudah satu pertiga daripada hariku. Itu pembaziran waktu yang nyata bagiku.


Sahabat Ibn Mas'ud r.a berkata,
"Sebaiknya seorang penghafal al-Quran itu dapat memanfaatkan masa-masa malamnya ketika manusia sedang tidur (maksudnya ia mesti berjaga dan qiamullail dengan membaca dan mengulangkaji hafalan)"
Dan mengapa diri masih lena di atas katil?


Salah diri juga kerana, terlampau meletakkan harapan kepada jam loceng, sedangkan harapan itu hanya pada Allah. Allah yang mampu mengejutkan manusia dari tidur lena dan menghentikan mimpi-mimpi yang membuai-buai. Jam loceng itu hanya usaha. Moga-moga, tidurku dapat dikurangkan dan masaku lebih dimanfaatkan.


InsyaAllah, dipermudahkan.








Wallahua'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Tips Kewangan Houseman - Langkah Pertama.

Majmu' Syarif.

Tips Kewangan Houseman - Langkah Kedua.