Menyintai yang dicintai.

Assalamualaikum w.b.t.


Semalam diri ditanya, "Bagaimana hendak menegur orang yang taksub dengan couple?"
Diri terdiam, tidak tahu hendak menjawab.


Selalunya, ramai yang bertanya kepada diri macam mana hendak meluahkan rasa cinta secara baik, tidak pernah pula bertanya bagaimana hendak nasihat orang lain.
Maha Suci Allah yang telah memberikan diri akal, maka diri berfikir.
Segala Pujian Bagi Allah yang telah memberikan diri ilham.


Sekali lagi, kisah Ahlam ku tuliskan buat tatapan.


*****

Hasil karya,
Umairah Hawani.

Dengan izin Allah diri menulis,
Menyintai Yang Dicintai.

Langkah dipercepatkan, Zohor akan tiba dalam masa setengah jam lagi. Ahlam tidak mahu tergesa-gesa. Sampainya dia di hadapan biliknya, Ahlam membuka pintu lalu terlihat rakan sebiliknya sedang berbual di talian. Dari apa yang dibualkan, dia tahu, rakannya itu sedang berbual dengan kekasih hati. Ahlam mengeluh sendiri.

Sudah seminggu keadaan itu berterusan. Ahlam masih tidak memperoleh cara yang terbaik untuk menegur. Sering dia bertanya kepada diri, "Adakah istilah 'couple' di dalam Islam?" Ahlam menidakkan soalan itu dan membuat keputusan. Cinta di dalam Islam hanya setelah bernikah, tiada yang sebelum dan yang selepas itu pasti indah, insyaAllah.

Setelah dilihatnya rakannya itu sudah menamatkan perbualan, Ahlam mendekati lalu duduk di sebelahnya.

"Awak cakap dengan siapa tadi?" tanya Ahlam berpura-pura tidak tahu.
"Saya cakap dengan Hazim," balas Sarah sambil tersenyum. "Kenapa?" tanyanya.
"Oh, tidak ada apa. Awak suka dia ke?" tanya Ahlam lagi.
"Mestilah, dia kan kekasih hati saya," jawab Sarah berterus-terang. Sudah sebulan lamanya sejak Hazim meluahkan perasaan kepada dia. Dia sungguh gembira mendengar perkhabaran itu. Hidupnya bagaikan lengkap dengan kehadiran seorang insan bernama lelaki berstatuskan kekasih.

"Awak cintakan dia?" Ahlam masih tidak berhenti bertanya.
"Ya, saya cintakan dia," jawab Sarah.
"Tahukah awak bahawa ada seorang wanita yang lebih menyintai dia daripada awak?"

Air muka Sarah berubah. Dari sinar kebahagiaan, matanya kini mengeluarkan sinar kekecewaan. Sedikit marah, namun ditahannya.

"Awak jangan cakap sebarangan, Hazim itu baik orangnya. Tidak mungkin dia menipu saya," tegas Sarah. Dia tahu Ahlam tidak akan berbohong, maka dia tidak tahu hendak mempercayai siapa.
"Benar, ada yang lebih mencintainya daripada awak dan Hazim juga menyintai wanita itu lebih dulu dari dia meluahkan perasaan pada awak," kata Ahlam tenang.

Kelihatan air mata mula bertakung di mata Sarah, dia cuba untuk tidak mempercayai kata-kata Ahlam itu. Sungguh, hatinya menyayangi Hazim. Namun, hati siapa yang tidak terluka jika dirinya ditipu? Hati siapa yang tidak akan sakit jika ternyata, kekasih hati menyukai orang lain?

"Siapakah wanita itu, Ahlam?" giliran Sarah pula bertanya.
"Wanita itu adalah ibunya," jawab Ahlam. Sarah terkesima.
"Hanya ibunya saja? Bukan sister lain?" tanya Sarah.
"Bukan hanya sekadar ibu, dialah yang mengandungkan, menjaga dan membesarkan Hazim sehingga dia menjadi manusia seperti mana yang awak lihat sekarang," jelas Ahlam.

Sarah terdiam. Dia mula mendapat mesej apa yang hendak disampaikan Ahlam. Ahlam meneruskan bicara.

"Sarah, ibunya telah melahirkan dia ke dunia ini dengan seribu satu impian. Ibunya menghantar dia ke CFS ini dengan seribu satu harapan. InsyaAllah, saya yakin bercinta bukanlah apa yang diharapkannya kepada Hazim.

Rakan yang ku kasihi kerana Allah, ibunya lebih mencintai dia daripada awak. Apakah perasaan kamu untuk menyintai orang yang dicintai? Apakah perasaan ibunya melihat anak yang tercinta menyintai awak?"

"Tapi kami bercinta berlandaskan agama," tegas Sarah.
"Adakah ibu bapanya tahu tentang awak?" tanya Ahlam. Sarah menggeleng.
"Adakah ibu bapa awak tahu tentang dia?" tanya Ahlam lagi. Sarah menggeleng.
"Saya tidak mahu beritahu ibu bapa, kerana kami masih muda," jawab Sarah.

"Nah, apakah maksudmu dengan bercinta berlandaskan agama? Cuba awak bayangkan sendiri, jika awak mempunyai seorang anak nanti. Apakah yang awak harapkan untuk anak awak?" tanya Ahlam.
"Saya mengharapkan yang terbaik untuk dia dan jodoh yang setaraf dengannya," balas Sarah.
"Tidak mungkinkan awak akan membiarkan anak awak melakukan dosa dengan bercinta sebelum kahwin? Begitulah perasaannya ibu Hazim kepada anaknya, ibu awak kepada awak, Sarah," kata Ahlam.

Sarah menundukkan pandangan, tidak mampu membalas kata-kata Ahlam. Dia membayangkan jika dia mempunyai anak, pasti saja dia mahu anaknya itu menjadi seorang yang soleh dan diredhai Allah. Dia tidak akan membiarkan anaknya membuat apa yang dilakukannya sekarang. Berbual berjam lamanya, menghabiskan duit membeli kredit untuk menghantar mesej dan keluar bersama-sama kekasih. Dia beristighfar, kali ini air matanya jatuh kerana penyesalan.

Ahlam memegang tangan Sarah lalu berkata,
"Bukan maksud saya bercinta itu tidak boleh. Cuma jangan cinta yang membawa ke neraka. Biarlah cinta itu membawa ke syurga. Awak sendiri tahu kan kisahku dengan Fateh? Kami akan bernikah setelah tamat pengajian, insyaAllah. Jika benar awak menyintai Hazim, mintalah dia berjumpa dengan ibu bapamu. Seorang lelaki yang benar ingin mengahwini seorang wanita dan menyintai wanita itu kerana Allah dan agamanya, maka dia akan bersetuju melakukan sesuatu dengan cara yang betul.

Sarah, niat awak itu baik. Awak ingin bernikah dengan dia bukan? Maka cinta awak itu cinta dengan niat nikah. Tapi cara awak salah. Umpamanya seperti awak ingin bersedekah kepada masjid, namun awak menghulurkan duit itu dengan kaki. Niat itu baik, namun cara itu tidak boleh diterima Allah mahu pun manusia. Begitulah.

Bukan tidak boleh berbual, mesej atau berjumpa. Namun mestilah ada peneman dan hanya kerana urusan penting. Tetapi semuanya mestilah setelah mendapat restu ibu bapa, justeru awak ditunangkan atau lebih baik lagi, nikah khitbah."

"Tidak terlalu mudakah saya untuk bertunang?" tanya Sarah.

"Manusia sering merasa muda untuk melakukan dosa dan tidak pernah terlalu tua untuk bertaubat. Adakah umur menjadi penghalang untuk awak melakukan ibadah?" Ahlam menjawab dengan pertanyaan.

Sarah mengangguk. Dia memahami. Tiba-tiba kedengaran bunyi telefon menandakan mesej sedang masuk. Sarah membacanya apabila melihat mesej itu diberikan Hazim.

"Assalamualaikum. Kehadapan Sarah yang dikasihi kerana Allah. Saya ingin meminta maaf kerana kertelanjuran saya selama ini. Saya telah berdosa dengan mengikut hawa nafsu saya. Perasaan saya kepada awak tulus kerana Allah dan saya menyintai awak kerana agama awak. Sudilah kiranya awak memberikan nombor telefon dan alamat keluarga awak untuk saya berterus-terang kepada kedua ibu bapa awak tentang hubungan kita. Semoga saja, kita ada jodoh dan akan menjalinkan hubungan yang sah di sisi agama lalu diredhai Allah."

Air mata terus jatuh membasahi pipi. Dia tidak sangka, Hazim juga sudah berfikir begitu. Dia memberikan telefon itu kepada Ahlam untuk dibaca.

"Alhamdulillah, kamu berdua sudah ditunjukkan jalan ke arah yang diredhai Allah. Manfaatkanlah hidayah ini sebaiknya," kata Ahlam. Sarah mengangguk lalu memeluk Ahlam sambil mengucapkan terima kasih.

*****

Cinta itu tidak pernah meminta,
tetapi memberi sepenuh rela.

Berfikirlah wahai teman,
apakah perasaanmu menyintai orang yang dicintai orang lain?
Dan ternyata jika cinta kamu itu timbul kemudian daripada orang itu.

Ibu bapa telah dikenali sebelum dia mengenali kita.

Mengalahlah kerana agama, cinta tidak akan membawa ke mana.
Jika cara itu salah.



Wallahua'lam.

Comments

Post a Comment

بسم الله الرحمن الرحيم

Popular posts from this blog

Tips Kewangan Houseman - Langkah Pertama.

Majmu' Syarif.

Tips Kewangan Houseman - Langkah Kedua.