Nur Cahaya,


Assalamualaikum w.b.t.

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah Sallallahua'laihiwassalam.

Hasil karya, Amirah Hazwani.


Cahaya.


“Cantiknya matahari hari ini,” suaranya girang menyatakan pendapat. “Subhanallah, Maha Suci Allah yang menciptakan langit dan bumi,” sambungnya lagi. Dia berlari-lari anak menyusuri taman di sebelah kolej. Kelas yang bermula seawal 8 pagi baru sahaja tamat sebentar tadi. Perutnya berbunyi memberi isyarat minta diisi. Tangan kanannya diletakkan di atas perut.

“Sabar ya, kejap saja lagi,” dia bermonolog sendiri.

“Nur.”
Dia memalingkan muka apabila namanya disebut. Kelihatan Aisyah sedang berjalan mendekati dirinya. Dia hanya memerhati Aisyah yang kelihatan tercungap-cungap. “Cepatnya kau jalan,” kata Aisyah. Dia berhenti di hadapan Nur dan duduk di kerusi berdekatan untuk berehat. Nur menghadiahkan sebuah senyuman kepada rakan baiknya itu.

“Kenapa kau suka sangat dengan matahari?” tanya Aisyah. “Kalau hari hujan, pasti sahaja kau akan bersedih sendiri. Termenung di tepi tingkap, menunggu matahari,” sambungnya lagi. Aisyah tergelak sendiri. Ramai juga yang bertanyakan soalan sebegitu kerana dia memang sering memperkatakan sesuatu tentang matahari. Jawapannya sungguh mudah bagi dia. “Aku suka matahari kerana matahari memberikan aku cahaya,” jawab Nur ringkas. “Selain itu?” tanya Aisyah lagi. Tangannya mecapai botol minuman di dalam beg lalu diteguk beberapa kali. Hatinya mengeluh kepanasan namun tidak diluahkan.

“Kerana matahari mengingatkan aku betapa sempurnya ciptaan Allah. Matahari mengingatkan aku betapa agungnya kuasa Yang Maha Esa. Sedangkan matahari yang sebegitu besar boleh diciptakan, pasti sahaja Allahuakbar, Allah Maha Besar,” jawab Nur membalas pertanyaan kedua. Senyuman tetap terukir di bibir selama mana hatinya berzikir. Perbualan terhenti dengan kedengaran sayup azan Zohor. Nur meminta diri untuk kembali ke dalam bilik untuk solat. Aisyah pula melangkah ke arah kafe untuk membeli makanan tengahari untuk mereka berdua.

Nur berjalan pantas ke arah lif. Selalunya lif akan penuh pada waktu-waktu sebegitu. Namun kerana hari itu hari Jumaat, tidak ramai yang masih tinggal di kolej. Hanya beberapa puluh orang sahaja yang tidak balik ke rumah masing-masing termasuk dia. Dia melihat bahawa lif sudah di tingkat bawah lalu dia segera mempercepatkan langkah supaya tidak terlepas. Sekilas sebelum dia memasuki pintu lif, dia memerhati keadaan sekeliling. Kolej itu kelihatan sepi tanpa penghuni. Dia membuat andaian semua sudah kembali ke bilik masing-masing atau sedang di musolla untuk solat. Langkahnya kini di dalam lif, ditekan punat bernombor sembilan lalu pintu lif tertutup rapat.

Diajarkan oleh guru agamanya, jika dalam perjalanan menaiki sesuatu, berzikirlah Allahuakbar. Nur membilang zikir dengan seutas tasbih. Sedang dia menanti lif tiba di tingkat sembilan, tasbih itu terjatuh dari tangannya dan terputus ikatan. Butir-butir tasbih bertaburan di dalam lif. Dia membongkok untuk mengutipnya dan tanpa disedari, lif berhenti. Persekitarannya menjadi gelap. Nur terduduk.

*****

“Cantiknya matahari hari ini,” kedengaran suara riang seorang kanak-kanak di taman bunga itu. “Nur, jangan hanya sekadar memuji matahari, pujilah Allah yang menciptakannya,” tegur seorang dewasa disebelah kanak-kanak itu. Kanak-kanak itu memalingkan muka kepadanya. “Terima kasih ibu, kerana sambut hari lahir ke enam Nur di taman ini,” katanya. Dia tersenyum menampakkan barisan gigi yang sudah sempurna. “Sama-sama kasih,” balas Puan Hidayah. Mereka berdua melangkah ke arah sebuah kerusi lalu melabuhkan punggung masing-masing.

“Tahu tak kenapa Nur suka matahari?” tanya Puan Hidayah. Kelihatan beberapa ekor burung sedang bertebangan di sekeliling tasik. Hatinya memuji keindahan alam ciptaan Tuhan. “Tahu, kerana maksud nama Nur adalah cahaya. Matahari pula memberikan cahaya. Jadi, Nur suka matahari,” balas Nur girang. Dia sangat menyenangi nama yang diberikan ibunya itu. “Terima kasih ibu kerana berikan nama Nur begitu indah. Terima kasih Allah kerana berikan Nur seorang ibu,” tambahnya lagi.

“Alahai, kasihannya ayah kerana Nur dah lupakan ayah,” satu suara mengeluh di belakang mereka berdua. Kedua-duanya menoleh dan tersenyum. “Terima kasih ayah kerana tolong bawa kereta, terima kasih Allah kerana memberikan rezeki,” tambah Nur kepada ayahnya. “Sama-sama kasih,” balas Encik Halim. Dia duduk disebelah kanan Nur. Mereka bertiga kekal di situ buat beberapa ketika.

*****

“Jangan!” kedengaran suara jeritan seorang wanita. “Tak, ambillah aku, jangan ambil Nur!” jeritan itu berlanjutan. Nur menutup kedua-dua telinga dengan telapak tangannya. Dia tidak tahu apa yang berlaku. Dia tidak nampak apa yang berlaku. Kegelapan menyelebunginya. Almari pakaian yang memuatkan dia tidak mempunyai ruang untuk dia melihat keluar. Dia teringat pesan ibunya, supaya tidak keluar sebelum diberitahu.

“Ah, baik kau beritahu mana anak kau sekarang! Suami kau dah berhutang dengan kami RM10 ribu, kau ingat senang saja kami nak lepaskan kamu sekeluarga?” bentak satu suara. “Aku akan bayar balik, aku janji,” wanita itu membalas. Nur mengenali suara wanita itu. Itu suara ibunya. “Janji hanya tinggal mimpi! Suami kau pun dah berjanji, sepuluh bulan yang lepas. Kami tak boleh tunggu, kami mahu duitnya sekarang. Atau kami ambil anak kau dan akan kami jual menjadi hamba pelacuran,” balas satu suara yang lain.

“Tidak!” bantah ibunya. Nur cuba menutup telinga rapat-rapat, namun dia masih terdengar perbualan mereka. Dia terdengar bunyi seperti orang memukul sesuatu. Dia juga terdengar suara ibunya menjerit meminta tolong. Di dalam almari itu, dia tercungap-cungap mengambil nafas. Semakin lama, suara jeritan semakin sayup. Nur tidak tahu apa yang berlaku.

*****

“Tolong!” jerit Nur. Dia mengetuk pintu lif menggunakan kedua-dua tangannya. Selama beberapa minit dia begitu. Akhirnya dia keletihan. Perutnya berbunyi lebih kuat dari tadi. Dia duduk di penjuru lif, kedua-dua tangannya kini menutup telinga. Dia menangis.

*****

“Nur, kamu bagaimana?” tanya Mak Cik Muslimah. Dia melihat cucunya itu yang hanya duduk di depan rumah, melihat langit. “Nur baik sahaja,” balas Nur pendek. Mak Cik Muslimah melepaskan keluhan berat. Sejak peristiwa pembunuhan kejam anak dan menantunya di rumah mereka, cucunya itu sudah berubah perangai. Manakan tidak, apabila polis menyerbu kediaman mereka, cucunya itu dijumpai di dalam almari di bilik bersebelahan dengan ruang tamu. Walaupun dia bersedih kerana kehilangan dua orang yang dikasihi, dia tetap bersyukur kerana Nur masih selamat.

“Nenek, Allah tidak akan membebankan seseorang melebihi kemampuannya kan?” tanya Nur. Mak Cik Muslimah sedikit terkejut, namun dia membalas dengan senyuman pahit. “Ya, Allah sesekali tidak akan memberi ujian jika Dia merasakan hambaNya tidak mampu menahan,” balasnya. “Jadi, Nur kena tabah,” Nur membuat konklusi sendiri. Mak Cik Muslimah sekadar menganggukkan kepala. Terharu dengan ketabahan cucunya.

*****

Di dalam kegelapan itu, Nur mencari-cari telefon bimbitnya. Apabila dijumpai, dia menyedari telefon bimbitnya itu kehabisan bateri. Tanpa mampu berbuat apa-apa, dia hanya duduk menanti pertolongan yang tidak tahu bila kunjung tiba.

*****

Kedengaran bunyi berdentum dari arah luar pintu lif. Nur membuka matanya. Dia tidak tahu berapa lama sudah dia berada di situ. “Nur,” kedengaran satu suara memanggil nama dari luar.

Nur tidak bergerak, hanya menanti.

Beberapa minit kemudian, pintu lif itu terbuka sedikit. Dia melihat-lihat. Kelihatan beberapa pasang mata sedang mengintai dari arah luar.

Nur tidak bergerak, hanya menanti.

“Nur!” suara yang dikenalinya itu menjerit lagi.
'Aisyah,' bisik Nur di dalam hati. Dia ingin bergerak, namun tidak terdaya.
Pintu lif terbuka luas. Dia melihat Aisyah berjalan meluru tanpa mengendahkannya. Dia hairan. “Aisyah,” panggilnya. Namun Aisyah membuat tidak tahu. Aisyah kini sedang memeluk sekujur tubuh yang kaku di tepi lif itu. Dia cuba melihat namun lif itu sudah dipenuhi ramai pekerja lelaki yang membantu membuka lif.

Dia cuba melihat. Dan akhirnya dia dapat melihat jelas siapa yang dipeluknya Aisyah. Aisyah memeluk dia. Dia mendekati Aisyah.

“Maafkan aku Nur, aku terlambat,” bisik Aisyah dalam tangisan.

Nur terduduk.

*****

“Cantiknya matahari hari ini.”
Kanak-kanak kecil itu berlari-lari anak di dalam taman. Dia berlari tanpa menghiraukan yang melihat.




p.s: Salah satu cerpen yang dihantar untuk Pertandingan Amal Islam di CFS.

p.p.s:




Comments

  1. MashaAllah <3 Nak tanye, is the karya based on a true story?

    ReplyDelete
  2. Sorry i meant like all the karya, is it all based on a true story? :)

    ReplyDelete
  3. Well, all I can say is it was all ilham from Allah C:

    ReplyDelete

Post a Comment

بسم الله الرحمن الرحيم

Popular posts from this blog

Tips Kewangan Houseman - Langkah Pertama.

Majmu' Syarif.

Tips Kewangan Houseman - Langkah Kedua.