Mereka.

Assalamualaikum w.b.t.


Kisah Ahlam.
*****
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,
Selawat dan salam ke atas junjunganku, Rasulku, Nabi Muhammad s.a.w

Hasil karya Umairah Hawani,
MEREKA.
Ahlam melangkah masuk ke dalam perpustakaan. Dia membuka pintu lalu dilepaskan. Seorang kerani di sebalik meja memerhati. Ahlam berhenti seketika lalu memegang pintu dan menutup secara perlahan. Dia teringat bahawa pintu itu akan berbunyi kuat jika dilepaskan begitu sahaja. Hasrat di hati tidak mahu menganggu konsentrasi sesiapa. Kerani yang memerhati tersenyum sambil memberi isyarat mengunakan ibu jarinya. Ahlam membalas senyuman.
Langkah di halakan ke arah anak tangga. Dia berfikir seketika untuk memilih tempat di mana dia perlu bersendiri dan membaca. Suasana perpustakaan yang sedikit lengang memberikan dia tiga pilihan di ketiga-tiga tingkat perpustakaan itu. Sememangnya dia tidak kisah duduk di mana namun yang paling sunyi pasti menjadi pilihan utama. Ahlam meniti anak tangga ke tingkat dua. Buku-buku kegemarannya semua terletak di situ. Setiap kali mengunjungi perpustakaan CFS itu pasti sekurang-kurangnya dia melihat-lihat buku di situ walaupun tidak membaca jika kesuntukan waktu.
Ahlam menyusuri lorong tengah di antara dua barisan almari. Dia berjalan hingga ke hujung dan seketika dia terhenti. 'Buku baru,' bisik hatinya. Saat itu juga hatinya melonjak riang. Dia memberikan salam dan meletakkan tangannya di atas buku-buku yang tersusun rapi. Buku-buku yang dipindahkan dari perpustakaan CFS Nilai itu mula disayangi. Ahlam berdiri di hujung lorong lalu berjalan perlahan-lahan. Jari-jemarinya menyentuh lembut setiap kulit buku sambil matanya melirik membaca tajuk dan nama penulis. Dia 'berkenalan' dengan buku-buku itu.
“Ahlam,” satu suara memanggil. Ahlam menoleh.
“Assalamualaikum, Zaharah,” Ahlam memberi salam sambil tersenyum. Zaharah membalas salam jua senyuman. Kelihatan jelas rona wajahnya mula memerah kerana sedar dia tidak memberi salam terlebih dahulu. “Kenapa ya?” tanya Ahlam. “Maaf menganggu. Anti sibuk ke? Ana nak bicara seketika,” balas Zaharah. “Tak adalah sibuk sangat, insyaAllah. Anti nak bicara di mana?” tanya Ahlam. “Di meja hujung sana boleh?” Zaharah menyuarakan pendapat sambil menunjukkan jari telunjuk ke arah salah satu meja di situ. Ahlam mengangguk lalu mereka berdua jalan beriringan ke arah meja tersebut.
Ahlam,” Zaharah memulakan bicara. Ahlam menguntum senyuman.
Apa pendapat anti tentang banin?” tanya Zaharah. “Maaf, ana tak ada pendapat buat masa ini,” jelas Ahlam jujur. Dia memikirkan keperluan dia berbicara tentang lelaki. Setakat ini, tiada. Namun keadaan yang membawa dia menjurus kepada perbicaraan sebegitu.
Tapi tak akan tidak ada apa yang anti harapkan daripada banin?” tanya Zaharah lagi. Dia tahu bahawa Ahlam petah sekali berbicara tentang sesuatu permasalahan. Ahlam berfikir sejenak, berselawat seketika di dalam hati. “Ana kurang mengharap daripada banin, ana mengharap pada Allah,” jawab Ahlam. “Namun begitu, ada juga beberapa perkara ana harapkan untuk banin,” sambungnya. Zaharah melontarkan pandangan penuh pertanyaan. “Untuk banin? Kenapa pula?” tanya Zaharah.
Ahlam menghela nafas panjang.
Ana harapkan untuk ayah ana, supaya ana bukan setakat menjadi perhiasan dunia baginya. InsyaAllah, ana mahu menjadi anak yang solehah untuk ayah ana. Supaya, kasih ayah kepada ibu yang melahirkan ana akan bertambah.
Ana harapkan untuk adik lelaki dan abang ana, supaya ana menjadi saudara yang baik. Supaya tidak jatuh maruah wanita pada pandangan mereka kerana kekurangan diri ana. InsyaAllah, ana mendoakan pasangan dan anak yang menjadi permata di hati mereka.
Ana harapkan untuk datuk ana, supaya ana menjadi penenang di hati. Moga-moga, datuk ana akan bertambah keimanannya. InsyaAllah, apabila melihat ana datuk ana akan gembira. Gembira dengan keturunannya.
Ana tidak lupa, mengharapkan pada seluruh banin umumnya, supaya ana dihijab Allah. Supaya tidak ternampak di mata mereka kelebihan pada diri ana yang tidak perlu diketahui. Semoga, pandangan mereka terjaga daripada ana dan menimbulkan rasa untuk menundukkan pandangan pada banat yang lain pula.”
Ahlam menghabiskan bicara. Dia menatap lembut Zaharah dihadapannya.
Zaharah, Allah mengurniakan kita hati. Hati itu perlu dijaga. Khair, ana tahu anti hendak berbicara tentang apa. Tapi, perbicaraan itu tak akan ke mana. Tak akan berhenti jika kita asyik mengulit nafsu dengan kesenangannya.
Nafsu perlu dididik, sedikit demi sedikit, lama kelamaan menjadi kebiasaan.
Katakanlah, 'Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertakwalah kepada Allah hai orang-orang yang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan.' [Al-Maidah: 100]
Zaharah, anti ada pilihan. Dan pilihan anti mestilah berlandaskan sesuatu yang baik. Ana berikan anti masa untuk berfikir. Jika masih anti ingin membicarakan hal yang anti niatkan, ana rela hati menerangkan, insyaAllah. Namun, jika anti mahu menanti hingga satu saatnya anti akan memahami sendiri, itu terserah pada anti.”
Zaharah tertunduk. Dia melepaskan keluhan berat.
Ana dihujani bebanan. Kadang-kadang ana terfikir kenapa Allah berikan ujian. Tapi ana tahu, itu tanda Allah sayang,” kata Zaharah. Ahlam diam sahaja menanti Zaharah menghabiskan perbicaraannya.
Zaharah mengangkat muka memandang Ahlam. Dia turut menguntumkan senyuman. “Terima kasih, kerana memberikan sesuatu untuk ana fikirkan. InsyaAllah, jika ana masih tertanya-tanya, ana akan rujuk pada anti,” sambungnya lagi.
Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maya Penyantun. [Al-Baqarah: 263]
InsyaAllah, jika kita berkesempatan untuk berjumpa lagi. Boleh saja anti bertanya kepada yang lain mungkin lebih 'arif. Namun jika ketentuan Allah begitu, ana sudi mendengar dan menyatakan pendapat,” balas Ahlam.
Khair, insyaAllah. Ana minta diri dulu, assalamualaikum,” Zaharah bangkit sambil menghulurkan tangan. Ahlam menyambut huluran dan memerhati langkah Zaharah berlalu pergi. Dia kembali ke bahagian rak buku untuk memilih buku pembacaan. Di dalam hatinya dia berdoa, supaya Allah menenangkan hati rakannya itu.
'(Iaitu) Orang-orang yang beriman dan hati-hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.” [Ar-Ra'd: 28]
*****
Wallahua'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Tips Kewangan Houseman - Langkah Pertama.

Majmu' Syarif.

Tips Kewangan Houseman - Langkah Kedua.