Berlegar dalam sepi.

Assalamualaikum w.b.t.

Kisah Ahlam.

*****

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,
Selawat dan salam ke atas junjunganku, Rasulku, Nabi Muhammad s.a.w

Hasil karya Umairah Hawani,

PILIHAN.

Dunia Ahlam terasa sepi. Ketenangannya sedikit goyah. Pantas dia beristighfar dan kembali membaca mesej yang terpapar di skrin komputer ribanya. “Ingatannya sudah pulih,” bisik Ahlam sendiri. Tidak semena-mena dia terasa sebak, hatinya pilu. Dia beristighfar.

******

6 tahun lalu.

Ahlam sibuk berkejar ke sana ke mari. Kamera ditangannya dipegang kemas supaya tidak terjatuh. Matanya mencari kelibat rakan-rakannya yang lain. Sudah hampir sejam dia mengambil gambar festival di sekolahnya itu. Tudung labuh yang dipakai dibuai angin. Ahlam menahan dengan tangan supaya tidak terselak dan menampakkan aurat. Langkahnya terhenti di salah sebuah gerai lantas dia tersenyum. Rakan-rakannya sedang berkumpul di gerai berhampiran dan membicarakan sesuatu.

Dia menghampiri lalu memberi salam. Keempat-empat rakannya menjawab salam namun tiba-tiba suasana menjadi sedikit tegang. Ahlam hairan, lalu bertanya. “Ana ada buat salah ke?” Rakan-rakannya menggeleng. Ahlam senyap menanti penjelasan. Dia tahu ada sesuatu yang hendak dibicarakan. “Ahlam, keluarga Sufi datang,” Ain memulakan bicara. Ahlam senyap lagi. Ramai ahli keluarga pelajar sekolah asrama agama itu datang pada hari itu, jadi dia kurang menganggap perkara itu pelik.

“Mereka datang melihat anti,” jelas Wafaa pula. “Kenapa pula datang melihat ana?” tanya Ahlam sedikit hairan. “Sudah fitrah manusia. Sufi, ada perasaan pada anti,” tambah Wafaa. “Dia kan berasal dari keluarga berketurunan tahfiz semuanya, jadi dia meminta restu keluarga,” kata Hani panjang lebar. “Tapi kenapa, ana tidak diberitahu?” tanya Ahlam. Suaranya kini sedikit tegas. “Ana tak pasti tentang itu. Namun, kami terdengar bicara mereka. Ahlam, mereka tidak restu,” kata Ain teragak-agak.

“Kenapa pula restu itu ditangan mereka? Sedangkan ana yang hendak dilihat pun tidak diberitahu? Ana juga berhak menolak walaupun jika mereka restu. Ya, benar Sufi itu seorang hafiz dan ana bukan. Tapi ana punya hak,” suara Ahlam semakin tegas. Rakan-rakannya gelisah. Tidak tersangka Ahlam akan memberi reaksi begitu. Namun masing-masing sedar, kata-kata Ahlam itu benar. Walaupun keluarga Sufi melamar namun Ahlam menolak, mereka juga tidak mampu berbuat apa-apa.

“Maafkan kami Ahlam. Kami hanya cuma menyampaikan apa yang kami dengar,” kata Balqis yang sedari tadi hanya mendiamkan diri. Ahlam tersenyum. “Tak apa, maafkan ana juga jika antunna terasa ana terlampau tegas. Cuma, kalau boleh ana tidak mahu berbincang hal ini lagi,” katanya. Dia meminta diri untuk menyambung tugas mengambil gambar dan memberi salam. Langkahnya laju menghampiri Aspuri. Tanpa disedari, air matanya jatuh membasahi pipi.

*****

5 tahun lalu.

“Sufi dah pindah,” kata Luqman. Ahlam mengangkat muka. Dia memandang banin dihadapannya itu. “Jadi?” tanya Ahlam. “Dia minta maaf,” balas Luqman. “Apa yang ana ada untuk memaafkan? Dia tidak ada salah apa-apa,” kata Ahlam. Dia bergegas bangun dari tempatnya dan berlalu pergi.

*****

Beberapa bulan lalu.

“Assalamualaikum Ahlam. Lama tak dengar khabar. Kaifa haluki? Maaf kalau akak menganggu. Akak cuma nak beritahu kisah sebenar. Ahlam ingat Sufi? InsyaAllah, akak rasa Ahlam masih ingat.

Ahlam, sebenarnya, Sufi pada saat dia berpindah itu dia menghidap penyakit yang memerlukan dia tinggal lama di wad. Ahlam tahu kan dia dulu pun selalu ke hospital dan klinik? Ahlam, dia tahu, dengan dos ubat yang diberikan dan pembedahan, akan ada kemungkinan dia hilang ingatan. Benar Ahlam, dia hilang ingatan setahun selepas itu. Akak berada di situ mengetahui semuanya. Hinggakan akak pun dia tidak kenal.

Ahlam, akak bantu dia untuk ingat kembali tapi sukar sekali. Dia tahu nama Ahlam, kerana nama Ahlam ada pada diarinya. Namun dia tak tahu siapa dan kenapa nama Ahlam ditulis di situ. Kami cuba mencari Ahlam, tapi Ahlam pun dah pindah. Tak ada siapa dapat sampaikan berita tentang Sufi kepada Ahlam.

Keadaannya teruk. Dia tak membenarkan akak menghubunginya lagi. Sekarang, dah dua tahun akak tak hubungi dia. Baru sekarang akak jumpa akaun facebook Ahlam, jadi akak hantar mesej ini. Harap Ahlam terima.”

*****

Gelas dihadapannya dilihat sepi. Semua yang berlalu diingat kembali. Yang sudah bertahun berlalu. Kini dia sudah berubah, atau apakah masih sama? Ahlam memandang sekeliling. Taman Ilmu dan Budi yang menjadi tempat dia menimba ilmu selama ini diperhati. Sudah masuk semester ke tiga dia di situ. Banyak juga perkara yang berlaku. Dia hendak mengeluh, namun Allah telah menetapkan. Tidak mungkin dia menolak ketentuan Allah baginya.

Beberapa hari lepas, dia kembali mendapat mesej di Facebook. Akaun laman sosial itu sudah menjadi tempat perhubungannya pula sekarang. Dia mendapat berita bahawa Sufi sudah sembuh. Ingatannya sudah kembali. Sufi sudah menghabiskan pelajaran dan sedang mengajar di ma'had tahfiz milik keluarganya. Ahlam tidak membalas tawaran mereka yang hendak memberikan cara menghubungi Sufi. Dia merasakan itu sesuatu yang tidak perlu.
Tanpa dia minta, terlintas nama Faqeh di dalam fikirannya. Terlintas juga nama-nama yang cuba mendekati dirinya selepas perpindahan Sufi. Dia bertanya di dalam hati. “Kenapa aku, kenapa diri ini?”

Dia melihat Faqeh di dalam mimpi. Walaupun tidak semestinya istikharah itu jawapannya dengan mimpi. Namun mimpi akan Faqeh itu membuatkan dia yakin itu jawapannya. Kerana di dalam mimpi itu dia melihat pilihan yang lain, namun akhirnya Faqeh yang dituju. Malah, hatinya juga tenang setelah itu. Mimpi itu dirahsiakan dari Faqeh kerana dia tahu masa masih tidak sesuai. InsyaAllah jika ada jodoh, pasti bersatu. Namun, kejadian yang dialami beberapa tahun lalu itu menggugat ketenangannya.

“Bagaimana jika, keluarga Faqeh tidak restu?” Ahlam berbisik sendiri. Sesaat kemudian dia beristighfar. “Jangan difikirkan, belum masanya lagi,” tegas Ahlam kepada diri sendiri. Gelas dihadapannya dicapai dengan tangan kanan. Gelas yang berisi Teh Ais Lemon itu dipandang lama. Fikirannya berlalu, memori juga berlalu.

******

Diriwayatkan dari Aisyah ra : seseorang bertanya kepada Nabi Muhammad Saw, “Apakah amal (ibadah) yang paling dicintai Allah?” Nabi Muhammad Saw bersabda,  "Amal (ibadah) yang dilakukan secara tetap meskipun sedikit.”

Wallahua'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Tips Kewangan Houseman - Langkah Pertama.

Majmu' Syarif.

Tips Kewangan Houseman - Langkah Kedua.