Jatuh.


Assalamualaikum w.b.t.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,
Selawat dan salam ke atas junjunganku, Rasulku, Nabi Muhammad s.a.w

Hasil karya Umairah Hawani,
JATUH.
Ahlam mengesat bibirnya. Tangannya bergetar. Dia tidak sanggup melihat, pandangannya berpinar. Sekali lagi petang itu dia sendiri di bilik. Satu-satunya rakan sebilik sudah ke kelas. Ahlam merebahkan badan di atas katil. Dia membiarkan tangannya yang sebentar tadi bersih tanpa kotoran, kini berbekas merah. Ahlam memejamkan mata. Tidak dihiraukan kesakitan. Dia berniat untuk berehat seketika.
Ahlam terjaga dari lelapnya. Kedengaran samar-samar suara membaca ayat-ayat suci al-Quran. Ahlam duduk di penjuru katil sambil menyandarkan badan. Suara itu dari bilik sebelah. Dia memerhati tangannya lalu mengambil kain dan membersihkan bekas darah. Ahlam memejamkan mata. Dia mendengar dengan penuh tekun. Hatinya senang mendengar bacaan itu.
*****
“Nak tasmi' ke nak ingat?”
Ahlam mengangkat muka. “Nak ingat,” jawabnya pantas tanpa perlu difikir terlalu lama. “Kalau nak ingat, ulang hafazan kamu 40 kali. Sentiasa betulkan niat. Kamu tak ada periksa, kamu kena ingat kamu hafal sebab apa,” pesan Ustaz Najib. Ahlam hanya mengangguk. Hatinya sedikit terusik kerana tidak mampu menghabiskan bacaan seperti yang dirancang dihadapan ustaz yang membimbingnya untuk menghafaz itu. 'Mungkin sahaja, masih tidak cukup lancar,' bisik hati Ahlam.
Dia kembali duduk di kerusi tidak jauh dari ustaznya. Mendengar hafizah lain mengulang hafazan berkali-kali. Dia suka begitu. Duduk dan mendengar. Diam dan berfikir.
*****
Ahlam memegang telefon bimbit di tangan. Satu persatu nombor kenalan yang dimiliki dilihat. Entah berapa kali dia cuba mendail namun membatalkan panggilan sejurus selepas menekan butang hijau. Ahlam gelisah sendiri.
'Kenapa kau tak mengadu saja pada Allah? Dia Tuhanmu Ahlam,' bisik hatinya.
'Sudah, aku dah solat. Aku dah baca al-Quran. Pada solatku aku telah mengadu. Dalam bacaanku aku sudah mendengar jawapan,' balasnya kepada diri sendiri.
'Kalau begitu, mengapa perlu lagi kau meluahkan kepada manusia? Tiada siapa yang mampu membantu kau kecuali Allah,' hatinya cuba menenangkan.
'Aku sedih, kenapa selalu sangat aku memendam rasa? Tak bolehkah aku meluahkan kepada seseorang? Atau memang ini bukti aku tidak mempunyai kawan?' balas Ahlam. Dia mula menitiskan air mata. Dia mahu bercerita, tapi tidak tahu kepada siapa.
'Bukan tidak salah. Tapi kau harus letakkan cintamu pada yang selayaknya. Cinta kau pada Allah, pada Rasulullah s.a.w. Jangan kau samakan dengan keperluan kau kepada manusia,' bisik hatinya.
Ahlam akur. Dia meletakkan kembali telefon bimbit. Sudah berapa kali telefonnya itu rosak. Sebanyak itulah hatinya mengingatkan, jangan terlebih guna. Jangan pula tersalah guna. Kemudahan yang Allah bagi, semuanya untuk memenuhkan syariatNya, jangan disalah gunakan nikmat. Ahlam bangun mengambil sebuah buku. Dia membaca seorang diri.
*****
Langkahnya dipercepatkan. Ahlam meluru masuk ke dalam bilik air. Dia menuju ke arah sinki lalu berhenti. Batuknya semakin kuat, darah semakin banyak keluar. Ahlam menangis. Dibukanya paip untuk membersihkan darah yang terlihat, dan menenggelamkan suara batukannya.
Dia kembali melangkah ke bilik.
'Kau sakit.'
Ahlam senyap. Mengiakan suara hati itu.
'Sakit ini boleh diubat, tapi aku lebih memikirkan penyakit hatiku,' bisik Ahlam sendiri.

'Tidak cukupkah ibadah kau?' balas hati.
'Ibadah tidak pernah cukup kepada Yang Mencipta.'
'Pahala dan syurgakah yang kau kejarkan?'
'Jangan merendahkan akalmu sendiri wahai hati. Jangan mengira amalan, Allah sahaja berhak menentukan
.'

'Nerakakah yang kau hindarkan?'
'Kemurkaan Allah lebih besar lagi dari seksaan. Aku tidak mahu termasuk dalam golongan yang ditutup hatinya dan tidak mendapat hidayah.'


'Kenapa kau terlampau cinta?'
'Kenapa tidak boleh aku menyintai? Dialah yang memberikan aku segala-galanya. Aku bernafas tanpa perlu membayar, aku makan dengan penuh nikmat. Aku berbuat dosa dan Dia mahu mengampunkan.  Kenapa tidak aku terlampau cinta?'
'Berjanjilah kepada dirimu sendiri.'
'Ya, aku berjanji dengan izin Allah.'
'Bersopan-santunlah dalam perkataan dan perbuatanmu.
Janganlah kau terlampau leka dengan sesuatu.
Cucilah hatimu ini dengan sebersih-bersihnya.
Kerana hati yang kotor tidak mampu mengalirkan air mata.
Buatlah sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan sepenuh usaha.
Kerana itu untuk Allah dan untuk agama.
Dakwah itu satu tuntutan, namun ada baiknya kadang kau berdiam,'
pesan hati dan akal Ahlam.
Ahlam berfikir lagi. Dia perlukan masa namun masa akan berhenti dengan kematian.
*****
Wallahua'lam.

Comments

  1. syukran.... entry menarik.... ana mnyukai tulisn mu, yg d ilhamkn dr Tuhan kta Allahurabbi...

    ReplyDelete
  2. Masha Allah, beautifully written. <3

    ReplyDelete

Post a Comment

بسم الله الرحمن الرحيم

Popular posts from this blog

Tips Kewangan Houseman - Langkah Pertama.

Majmu' Syarif.

Tips Kewangan Houseman - Langkah Kedua.