Pabila cemburu, merungkai tabir.

Assalamualaikum w.b.t.


Hari ini pelik bagiku.
Baru sebentar diri gembira, hati diulam nyaman.
Tiba-tiba pula bersedih luka, dan ku tulis kan perasaanku ini sekarang.


Dengan izin Allah, apa yang bakal ku tulis, bukanlah untuk ujub, sungguh ingin ku jauhi takabbur.
Dengan izin Allah, apa yang bakal ku tulis, hanya sekadar luahan, yang telah ku luahkan kepadaNya. Tapi akan ada manusia yang perlu tahu, agar kamu mengerti.


Jujur ku katakan, tidaklah selalu al-Quran dibaca, sekadar mampu, semampu yang boleh.
Sungguh tidak ku tahui ke mana masa sudah ku habiskan.
Walhal tidaklah selalu ku membuka komputer, mahupun meluangkan masa dengan rakan.
Masih ku rasakan bacaan Quran ku seharian tidak mencukupi.


Kadang-kadang terfikir, apakah mengulang satu surah yang sama setiap hari lebih baik dari mengkhatamkan al-Quran?
Sungguh, diri tertanya-tanya. Namun digagahkan juga.
Al-Quran ku cinta, begitu juga berjuta ummat Islam yang lain.
Allah, Rasul s.a.w, dan al-Quran. Tiga cinta yang tidak mampu dipisahkan.


Di saat diri menghabiskan bacaan, badan teringin untuk berehat. Sering sahaja penat kebelakangan ini. Namun, mana boleh dibandingkan penat seorang ibu membesarkan anaknya. Mana boleh dibandingkan penat seorang ayah mencari rezeki. Mana boleh dibandingkan penat seorang guru yang mengajar muridnya. Mana boleh dibandingkan penat seorang khalifah memerintah penduduknya.


Dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya (orang tua), sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil" (17:24)


Sudah, penat diri yang hina ini, mencari ilmu yang sedikit cuma, mempunyai sekelumit keinginan untuk mendapat keredhaanNya... hanya sedikit saja penat ini.


Setelah menjamah sedikit makanan, duduklah dihadapan komputer, dan terdetik untuk melihat keadaan pelajar di Mesir. Siapakah yang masih tidak mengetahui? Diri ini yang lemah lagi hina, teringin sungguh hendak menjejakkan kaki di bumi para anbiya'.


Impian itu bermula, setelah tamat pembacaan Titian Nabi. Sebuah karya, tidak ku ingat hasil siapa. Tapi dengan apa yang di tulisnya, sungguh, sungguh, ingin sekali menuntut di Mesir. Bertambah kecintaanku kepada Mesir, pabila membaca karya-karya penulis yang lain, tentang apa yang ada di sana, tentang siapa yang ada di sana, tentang ilmu yang ada di sana. Cintaku, kepada buku, kepada ilmu, kepada ulama' yang mengajar ilmu, memimpin impianku untuk ke Mesir. Bumi, yang pernah dijejaki para anbiya'.


Di saat sedang mencari itu, terbaca satu petikan di sebuah laman web. Pelajar al-Azhar mempelajari Kutub Sittah. Pada satu masa, 54 hadith dibacakan Syeikh yang berada di situ. Itu, sungguh meremukkan hatiku, mengentam sanubari.


Hati ini cemburu sekali, mengenangkan ilmu yang dengan izin Allah, senang diperolehi mereka. Hati ini cemburu sekali, mengenangkan pada usia yang muda, sudah menggunung ilmu di dada. Diajar oleh Syeikh yang terkemuka, boleh bertentang mata dan mendengar suara. Dan siapakah lagi tempat yang sebaiknya untuk hati ini mengadu?


Allah ya Rabbi, Allah ya Rabbi.


Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu (17:25)


Allah Tuhan sekalian alam, yang menguasai segala sesuatu. Dan diri ini, masih di Malaysia, dengan ketentuanNya.


Sudahlah cukup apa yang hendak diluahkan.
Sedikit cuma, namun sudah memerangkap hati ini.


Walaupun hajat setinggi langit, hampir mencecah bintang, tapi hati mesti bersabar.
Terburu-buru itu sikap siapa?
Ragu-ragu juga sikap siapa?


Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya (65:3)


Jadilah, insyaAllah, kita semua, mendapat hajat dan keinginan masing-masing.


Bila, di mana, bagaimana, biarlah Allah menentukan.






Wallahua'lam.

Comments

  1. InsyaAllah kamu akan mendapatkan yang terbaik bagi dirimu ;)

    ReplyDelete

Post a Comment

بسم الله الرحمن الرحيم

Popular posts from this blog

Tips Kewangan Houseman - Langkah Pertama.

Majmu' Syarif.

Tips Kewangan Houseman - Langkah Kedua.