Monday, November 14, 2011

Sabar itu cahaya, sinaran.

Assalamualaikum w.b.t



Sebahagian orang Salaf yang soleh berkata :”Barangsiapa yang mengadukan musibah yang menimpanya, seakan-akan dia mengadukan Rabb-nya”.



Malam ini, berjalan di CFS seorang diri. Hujan membasahi bumi tempat diri menimba ilmu. Tidak ada siapa yang bersama, gelap sahaja langit. Pagi, ketika diri sedaya upaya mengekalkan diri untuk tetap terjaga, cahaya matahari perlahan-lahan membiaskan diri dari celah-celah awan. Langit masih tidak berapa biru, awan masih lagi putih gebu.

Maha Suci Allah, malam ini berlainan sekali dengan paginya.

Bahkan hari ini berlainan sekali dengan semalam.

Tadi, ditegur dengan ayat, "kita boleh melihat keimanan kita, rendah atau tinggi, dengan pembacaan al-Quran seharian. Jika malas, mungkin ada kelemahan pada iman kita."

Astaghfirullah, Astaghfirullah, Astaghfirullah.


Ada sebuah hadith, ertinya : "Dari Sa’id bin Abi Waqqash Radhiyallahu anhu, dia berkata. ‘Aku pernah bertanya : Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling keras cubaannya ? Beliau menjawab. Para nabi, kemudian orang pilihan dan orang pilihan lagi. Maka seseorang akan diuji menurut agamanya. Apabila agamanya merupakan (agama) yang kuat, maka cubaannya  juga berat. Dan, apabila di dalam agamanya ada kelemahan, maka dia akan diuji menurut agamanya. Tidaklah cubaan menyusahkan seorang hamba sehingga ia meninggalkannya berjalan di atas bumi dan tidak ada satu kesalahan pun pada dirinya”.
[Isnadnya sahih, ditakhrij At-Tirmidzy, hadith nombor 1509, Ibnu Majah, hadith nomor 4023, Ad-Darimy 2/320, Ahmad 1/172]

Tadi, ternampak lagi, ada yang menjual buku di sebelah K-Shop.
Lalu ku katakan pada teman di bilik, "imanku tergugat." Bukanlah bermaksud benar iman tergugat, cuma terusik sedikit perasaan ingin membeli. Kadang-kadang, beli jua beberapa buah selang beberapa ketika. Kadang-kadang, tidak.

Sebab, selalu saja bermain di fikiran, "nak baca buku ke baca al-Quran?"
Atau, "nak hafaz hadith ke, nak baca al-Quran?"

Begitulah... Sedangkan hadith 40 itu pun masih terumbang-ambing. Sudah mendapat sanad, tapi masih juga begitu. Aduhai, Amirah Hazwani. Bukanlah bermaksud mengeluh, sekadar bermuhasabah diri.

Kebelakangan ini banyak sungguh berbahasa Melayu. Mengapakah?

Baru sahaja petang tadi, teringat kembali cita-cita dahulu, hendak menjadi guru Bahasa Melayu. Teringat juga tentangan yang dihadapi. Dan diri mengalah begitu saja, menjatuhkan hati, terjatuh cinta pula dengan kejuruteraan. Saatnya tiba di CFS, menambahkan cinta pula kepada bahasa Arab, ilmu-ilmu agama. Sungguh, berasa bertuah sekali berada di sini. Sedangkan dahulu, tidak siapa akan menyangka diri mendaftar di sini. Bahkan tidak pernah tersebut UIAM di bibir. Yang meniti kata hanyalah impian yang tidak kesampaian.

Syukur Alhamdulillah, diri berada di sini.

Sedikit pesanan, mengakhiri perbicaraan. InsyaAllah.

Perbaharuilah imanmu dengan lafaz la ilaha illallah dan carilah pahala di sisi Allah kerana cubaan yang menimpamu. Janganlah sekali-kali engkau katakan :”Andaikan saja hal ini tidak terjadi”, tatkala menghadapi takdir Allah. Sesungguhnya  tiada ada taufiq kecuali dari sisi Allah.

Wallahua'lam.


No comments:

Post a Comment

بسم الله الرحمن الرحيم