Laksana pedang membunuh jiwa.

Assalamualaikum w.b.t.


Ditakdirkan Allah s.w.t, awal Muharram ini membawa satu perubahan kepada diri.
Adakah mungkin ini hijrahku yang paling utama setakat ini?

 عَنْ ثَوُبَانَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: طُوْبىَ لِمَنْ مَلَكَ لِسَانَهُ، وَوَسِسعَهُ بَيْتَهُ، وَبَكَى عَلَى خَطِيْئَتِهِ

Daripada Tsauban Radhiallahu ‘Anhu katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam): Berbahagialah bagi orang yang mampu mengawal lidahnya, dan luas rumahnya, dan menangis (kerana menyesali) kesalahannya  
[Hadis Hasan Riwayat Thabarany]

Mungkin sekarang diri kurang berbicara, tapi banyak pula yang ditulis. Apakah menulis dan berkata itu sama? Persamaannya ada pada yang mendengar dan membaca. Mesej yang disampaikan itu sama, cuma cara berbeza.

Apabila berkata-kata, laju saja mulut menyebutnya, kadang-kadang terluka yang mendengar.

Apabila menulis, laju saja tangan melakukannya, kadang-kadang terasa hati yang membaca.

Tapi ada perbezaan juga di situ.

Bila berkata, susah sekali hendak berhenti berfikir. Malah, kata-kata yang terluah tidak mungkin ditarik balik. Walau sejuta maaf, walau beribu alasan. Kata itu sudah didengar.

Bila menulis, kerap kali akan berfikir. Malah, ada yang dipadam, dan tidak akan diketahui sesiapa pun melainkan si penulis. Tapi apa yang ditulis akan menjadi bukti, sahih diri yang menulis. Sedangkan kata akan berlalu begitu sahaja, seperti angin sepoi-sepoi bahasa.



Ditakdirkan Allah s.w.t, diri telah mendapat nasihat untuk menulis.
Dikatakan kepadaku,

"Setiap apa yang kita tulis akan ditanya di akhirat."

Laksana pedang membunuh jiwa, sungguh, diri terkesima.
Bukan tidak tahu setiap perbuatan itu akan ditanya kelak, akan dihitung. Namun jarang sekali perkara itu difikirkan, apatah lagi kaitannya dengan penulisanku. Selama ini, apa yang diri tahu,

"Diri menulis, orang membaca. InsyaAllah, mendapat faedah bagi keduanya."

Itu sahaja. Naifkah diri ini pada hakikatnya?




Hijrah bermula lama dahulu. Di saat kita semua tiada di situ. Kita tidak ditakdirkan Allah s.w.t untuk berhijrah ketika itu. Tapi kita ditakdirkan untuk berhijrah sekarang.

Tahun ini, kita masih bernafas dengan izinNya.

Maka akan diri katakan, hijrah itu banyak sekali cabangnya. Bukan sedikit, malahan banyak sekali. Mungkin daripada jarang membaca al-Quran, kepada hanya 5 ayat setiap hari. Siapakah yang akan mengatakan itu bukan hijrah? Itu satu hijrah pada mata ini, kerana al-Quran itu tetap diingati. Islam itu mudah sekali, bahkan siapa yang menjadikannya susah?

Kata orang, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

Ketahuilah, pahala juga seperti itu. Ketahuilah, amal baik itu menghapuskan dosa.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah s.w.t, sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah s.w.t tanpa dia membawa dosa sedikitpun.”– Hadith riwayat Imam Tirmizi


Masihkah ada keraguan di hati, bahawa Allah s.w.t itu menyayangi kita?


Wallahua'lam.


Comments

  1. Assalamualaikum saudari.

    Saudari salah tulis.
    Ketahuilah, pahala juga seperti itu. Ketahuilah, amal baik itu menghapuskan pahala.


    tapi


    Ketahuilah, pahala juga seperti itu. Ketahuilah, amal baik itu menghapuskan dosa.

    Blog yg sangat menarik :)

    ReplyDelete
  2. bgos sgt2..terase di hati yg membace..

    ReplyDelete

Post a Comment

بسم الله الرحمن الرحيم

Popular posts from this blog

Majmu' Syarif.

Tips Kewangan Houseman - Langkah Pertama.

Tips Kewangan Houseman - Langkah Kedua.