Friday, November 18, 2011

Yang jelas itu,

Assalamualaikum w.b.t.



Firman Allah s.w.t maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan". (An Nur: 30)

Sejak beberapa hari ini, hati bertanya sesuatu.
Sesuatu yang agak berat sedikit, untuk dijawab sendiri.

InsyaAllah, setiap Muslim pasti tahu, hukum melihat aurat bukan muhrim itu haram. Tidak dibenarkan sama sekali. Dan balasannya dosa. Selalu dikaitkan, yang tidak menutup aurat itu wanita, yang melihat aurat itu lelaki. Jadi, bagaimana?
Adakah wanita seharusnya tidak keluar melainkan menutup aurat, walhal ia adalah wajib? Atau adakah lelaki yang perlu sentiasa menundukkan pandangan?
Ramai yang membahaskan tentang ini, berbalah sesama sendiri.
Namun ada satu perkara yang mungkin, tidak ramai sedari.

Di setiap rumah pada zaman ini, pasti ada sekurangnya sebuah televisyen. Dan umum mengetahui, di televisyen itu siarannya kebanyakan terdiri daripada drama. Tidak kiralah dari negara mana, berbahasa apa. Pelakon dari seantero dunia pasti akan berhempas-pulas memainkan watak masing-masing. Maka persoalan aurat itu terbiar, dibuat tidak endah.
Sebagai contoh, salah satu cerita bersiri yang kadang-kadang dilihat jika berada di rumah, CSI. Meskipun pelakonnya bukanlah Muslim, maka dia tidak menutup aurat, tetapi, kita mengetahui hukum melihat auratnya. Mungkin bagi yang seperti diri ini, seorang wanita, tidak apa-apa. Aurat sesama wanita itu lain. Tetapi bagaimana dengan yang berlainan jantina?
Jika anda seorang lelaki Muslim, dan anda mengetahui hukum melihat aurat seorang wanita, mengapakah anda masih melihat cerita bersiri sebegitu?


Nah, di sini pasti ada alasan. Mungkin akan ada yang berkata, "bukan salah kita dia tidak menutup aurat, dia bukan Muslim," atau "cerita itu bermanfaat, bukan seperti cerita yang lain." Di sini saya ingin membalas, berapa banyak manfaat yang anda peroleh daripada melihat cerita sebegitu jika dibandingkan dengan dosa yang anda kumpul sepanjang masa berjam itu?
Dan sudahkah, anda beribadah secukupnya dan menghabiskan segala wirid, solat dan selawat yang anda peruntukkan pada hari itu barulah anda menonton televisyen? Atau anda sendiri tidak memperuntukkan masa seharian anda?

Diam seketika, tanyalah diri.

Jika, dalam fikiran anda, menonton televisyen dan melihat cerita yang mendedahkan aurat seseorang dalam jangka masa yang lama tidak apa-apa, maka anda telah menyokong satu kemungkaran yang besar. Cubalah, peruntukkan di dalam satu hari itu, segala wirid, solat sunat dan fardhu, selawat, bacaan al-Quran yang telah diajarkan dalam kitab-kitab agama karangan 'alim ulama', dan lihat sendiri masihkah anda mempunyai waktu untuk diluangkan dihadapan televisyen?
Masihkah anda mempunyai waktu walau sejam sahaja?
Walhal selama ini anda telah berjam-jam melihat kemungkaran yang nyata, dan adakah itu salah nafsumu atau dirimu sendiri?


Jangan berdiam lagi, fikirlah sendiri.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment

بسم الله الرحمن الرحيم