Pejamkan mata,
Assalamualaikum w.b.t.
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Bagaimanakah untuk diri ini,
bagaimanakah untuk hamba ini tidak menulis akan sesuatu yang membahagiakan?
Kegembiraanku bertalaqqi semula bersama Syeikhuna Ustaz Muhadir bin Hj Joll.
Dan keterbukaan hatiku untuk melihat guru baru, Syeikhuna Ustaz Nidzam Abd Kadir.
Kerana sudah beberapa Syeikhuna menganjurkan supaya berguru dengan ramai 'alim.
Ambillah apa yang baik, insyaAllah.
Kebahagiaanku Allah masih menganugerahkan nikmat istiqamah berkunjung ke majlis Talaqqi Madras an-Nur setiap Ahad.
Bagaimana mingguku tanpa majlis ilmu itu?
Kesyukuranku bertalaqqi bersama Syeikhuna Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki bersama dengannya di Masjid Wilayah Persekutuan. Walaupun sedikit terlewat dari perancangan, insyaAllah ada hikmah.
"Istiqamah lebih baik daripada 100 karamah" -Syeikh Nuruddin-
Ketenanganku apabila dibuka jalan mengunjungi buat julung kalinya, rumah Allah yang dinanti, Masjid Muadz bin Jabal pada majlis yang dirindu, Mawlid Akbar.
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.
Syukran ya Ukhti Ijj'lal.
Syukran ya Syeikhuna Ustaz Azhar Hashim,
ya Syeikhuna Habib Najmuddin Al-Khered,
ya Syeikhuna Habib Ali Zaenal Abidin,
syukran jiddan atas doa.
اللهم آمين يا رب العالمين
Bagaimanakah harus diri ini menyatakan kesyukuran?Apabila dunia di luar, leka dan terus lalai.
Namun di dalam Masjid Wilayah itu, di rumah Allah itu,
ada yang bangkit seawal 2 pagi, ada yang seawal 4 pagi.
Bertahajud, bermunajat sehingga Subuh.
Kemudiaannya meneruskan dengan talaqqi, majlis yang barakah.
Aduhai, hati rindu kepada suasana itu.
Ya Allah, sampaikanlah diri ini ke Mesir ya Rabb.
Diri tersangat ingin bertalaqqi di sana.
اللهم آمين يا رب العالمين
Mungkin kalau dahulu, ana akan berasa pelik dan hairan.
Namun insyaAllah sekarang tidak.
Ana tahu perasaan antum, bagaimana kadang-kadang merasa susah, kadang-kadang merasa berat.
Kadang-kadang bukan perjalanan yang jauh menjadi halangan.
Bukan jua kekurangan wang yang menjadi benteng.
Tapi kerana hati yang takut tidak mengamalkan ilmu.
من ازداد علما ولم يزدد هدى لم يزدد من الله إلا بعدا
"Siapa yang bertambah ilmunya namun tidak bertambah amalannya, maka dia lebih jauh daripada rahmat Allah."
Ana tidak punya nasihat, jauh sekali ingin menilai.
Niat ana insyaAllah untuk berkongsi.
Pernah sekali, pertama kalinya ana ingin ke majlis ilmu Syeikh Fahmi Zamzam, yang pernah dahulu hati ana berbisik, "Tidak mungkin akan dapat bertemu Syeikh kerana jarak kami." Ditakdirkan Syeikh hadir ke negeri ini, negeri Selangor lalu ana bergegas mencari jalan.
Dan ternyata, ana harus berjalan.
Ana berjalan kaki sampai ana terasa hendak duduk, hendak meratap menangisi perjalanan yang jauh. Hendak menjerit adakah kepayahan ini kerana Allah tidak takdirkan diri ini bertemu Syeikh?
Kerana salah seorang guru ana pernah berkata, "Bukan kita yang tidak mahu berjumpa Syeikh, tetapi Allah tidak membenarkan Syeikh itu melihat muka kita."
Kerana itu, ana bersedih hati sepanjang perjalanan.
Hinggalah saatnya ana sampai ke gerbang masjid, mendengar suara Syeikh dan akhirnya hingga sekarang, sebulan sekali insyaAllah dipertemukan.
Alhamdulillah pertemuan terakhir ana memberanikan diri meminta sanad.
Dan itulah nikmat Allah kepada ana.
Hamba yang faqir lagi hina.
Ana dan antum, harus berlari. Kerana darjat kita dan para ulama', habaib dan asatizah tidak sama. Ana dan antum, harus berkejar. Jika saatnya merasakan diri ini kotor dengan dosa, sucikanlah. Sesungguhnya dosa itu disucikan dengan amalan kebaikan.
"Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka secara sembunyi atau terang-terangan, serta menggantikan kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik)" Ar-Ra'd: 22
Kenapa ana lebih rela memakai pakaian hitam?
Kerana kadang-kadang, terlintas di hati, "Adakah sebenarnya pandangan Allah kepadaku menampakkan hitamnya diri ini seperti apa yang ku pakai?"
Untuk menjaga hati, pejamkanlah mata.
Jangan lihat dunia.
Dan jika terlihat, ketahuilah bahawa itu langsung tiada nilainya.
Allahua'lam.
Comments
Post a Comment
بسم الله الرحمن الرحيم