Dan menyucikan.
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Kisah Ahlam.
Dengan
nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,
Selawat
dan salam ke atas junjunganku, Rasulku, Nabi Muhammad s.a.w
Hasil
karya Umairah Hawani,
SUCI.
"Kenapa
saya melakukan dosa lagi?”
Ahlam
memandang si dia yang berbicara. Di hadapannya tersimpuh seorang
rakan yang dikasihi, mengalir air matanya membasahi telekung berwarna
putih bersulam hijau. Dia membiarkan Hawa menangis. 'Biarlah dia
melepaskan siksanya,' bisik hatinya.
"Kenapa saya
berbuat maksiat lagi?" rintih Hawa. Kedua tangannya memegang
tangan Ahlam. Mengharap bantuan dan memohon simpati. Di fikirannya,
adakah mungkin Ahlam mampu merasakan perit? Di hatinya, adakah
mungkin Ahlam mampu memahami?
'Tidak! Dia tak mungkin
faham!' bisik hati kecil Hawa. Baginya, sengsara itu milik dia. Dosa
itu dia yang melakukan, bukan Ahlam, bukan sesiapa.
"Ketahuilah, jika
ALLAH tidak mengkehendaki berlakunya maksiat di atas bumi, maka tidak
akan diciptakan iblis," Ahlam mula bersuara setelah tangisan
Hawa reda.
Hawa mencapai tisu di
sisinya, mengelap air mata yang tercurah. Tangannya kembali disatukan
bersama tangan Ahlam. Dia membaringkan kepalanya di atas peha Ahlam.
"Tapi, saya lalai. Saya tak ingat ALLAH," Hawa meluahkan
perasaan. Teringat dia apabila dia kembali dari ceramah malam
sebelumnya. Ceramah yang membicarakan tentang agama. Semangat membara
saudara-mara seagamanya melaungkan ALLAHU AKBAR setelah tamat. Namun
sekembalinya dia dari ceramah yang bermula usai solat Maghrib itu,
dia berbaring di atas katil lalu tertidur.
Natijahnya, dia terjaga
apabila azan Subuh berkumandang. Dia terlepas solat Isya'.
Air mata kembali
bergenang. Mahu saja dia meraung kesakitan. Sakitnya dia lupa akan
TUHAN yang menciptakan. Adakah dia hidup untuk tidur? Sedangkan ALLAH
sudah berfirman; "Maka apakah kamu mengira bahawa KAMI
menciptakan kamu main-main (tanpa tujuan) dan bahawa kamu tidak akan
dikembalikan kepada KAMI?" (al-Mu'minun: 115)
Bahkan setiap hari dia
membaca ayat itu di dalam wiridnya. Masakan dia boleh lupa!
"Hawa, apakah itu
erti maksum?" tanya Ahlam. Tangan kanannya mengusap kepala Hawa.
"Tidak melakukan dosa di pandangan ALLAH," balas Hawa.
"Siapakah yang maksum?" tanya Ahlam lagi. "Para
anbiya' dan rasul," balas Hawa. "Dan Nabi Muhammad
sallallahu'alaihi wa salam merupakan manusia yang paling sempurna
bukan? Penutup sekalian nabi," Ahlam melanjutkan bicara.
Hawa mengangguk
sendiri. Mendengar setiap butir bicara Ahlam berhati-hati.
"Baginda
sallallahu'alaihi wa salam merupakan manusia terakhir yang diciptakan
lepas dari segala dosa pada pandangan ALLAH, maka mengapa kita
merasakan diri kita tidak akan melakukan dosa?
Baginda
sallallahu'alaihi wa salam pembawa syariat, rahmat bagi sekalian
alam. Mengapa kita mahu mengejar kesempurnaan? Jika terciptanya
manusia hanya untuk berbuat kebaikan tanpa dosa, bahkan ALLAH mampu.
Tapi tidak, ALLAH menciptakan dosa atas sebab yang sama ALLAH
menciptakan kegelapan. Supaya kita mengenal cahaya.
Dosa tercipta supaya
kita menghargai manisnya taubat. Indahnya pahala.
Kenapa kita perlu
makan? Kerana kita lapar. Kalau kita tidak lapar, adakah nikmat untuk
kita makan walau sesedap mana makanan itu? Bahkan tidak. Sedangkan
lapar itu bukan sesuatu yang kita ingini bukan?" bicara Ahlam
panjang untuk menenangkan hati sahabatnya.
"Tapi semalam,
sudahlah saya ke ceramah agama, tetapi kembali tidak solat pula,"
luah Hawa. Segan dia menuturkan sebegitu, namun dia mahu
penyelesaian. Teringat dia akan pesan naqibahnya, "Najis kita,
tak akan orang lain yang akan cuci? Biar busuk, biar lama sekali pun.
Lambat laun, kita perlu bersedia mengambil air dan menyucikannya.
Seperti pakaian, perlu dibasuh setiap hari. Seperti itulah taubat
kepada TUHAN. Setiap hari malah setiap detik."
"Kerana itu, kita
tidak boleh memandang orang lain sempurna. Mungkin ALLAH ingin
memberitahu, apa yang kita lakukan sekarang, tidak menjamin apa yang
kita akan tetap lakukan kemudian. Apa yang kita lihat dari seseorang,
tidak menjamin segala amal yang dia lakukan. Bairlah saja dia
berpurdah atau tidak bertudung sekalipun. Biarlah saja dia berkopiah
atau berseluar jeans sekali pun, ALLAH tidak akan menanya tentang
orang lain terhadapmu.
Kamu bertanggungjawab
terhadapa dirimu sendiri nanti di hadapan ALLAH.
Apakah tidak pelik,
seorang yang kotor bajunya, ingin membersihkan kotoran di baju orang
lain?" Ahlam menjawab persoalan Hawa dengan mengakhiri dengan
persoalan untuk dia berfikir.
"Hawa, ALLAH
berfirman dan disampaikan kepada kita melalui kekasihnya
sallallahu'alaihi wa salam:
Dan apabila
hamba-hambaKU bertanya kepadamu tentang AKU, maka (jawablah)
bahawasanya AKU adalah dekat.
AKU mengabulkan
permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaKU.
Maka hendaklah mereka
memenuhi (segala perintah)KU dan hendaklah mereka beriman kepadaKU
agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (al-Baqarah: 186)
Bukankah DIA (ALLAH)
yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila dia
berdoa kepadaNYA dan menghilangkan kesusahan? (an-Naml: 62)
Hawa,
ingatlah bahawasanya kamu tidak diciptakan ALLAH untuk menyiksa diri
sendiri. DIA mahu kamu bahagia, jika tidak, syurga tidak akan
diciptakan. Malah kamu tidak akan diciptakan. DIA mahu kamu mengejar
DIA hanya kerana DIA itu ALLAH. Syurga hanya bayangan dan pahala
hanya sebab untuk kamu menghampiri rahmatNYA. ALLAH tahu bahawa
hambaNYA lemah, disebabkan itu ALLAH berikan kita hadiah. Yakni
baginda Muhammad sallallahu'alaihi wa salam.
Melalui baginda
sallallahu'alaihi wa salam, al-Quran diturunkan, mengajar kita
bagaimana untuk bertaubat apabila melakukan dosa. Bukankah sudah
diajar bagi kita doa Nabi Musa 'alaihi salam?
'Ya TUHANku,
sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri makan ampunilah aku.'
(al-Qasas: 16)
Dan ALLAH membalas pada
ayat yang sama bahawasanya DIA mengampuni Nabi Musa 'alahi salam.
Sesungguhnya ALLAH, DIAlah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Hawa mengangkat
kepalanya dari ribaan Ahlam. Dia lantas memeluk Ahlam seerat-eratnya.
Tangisan kembali bercucuran. Ahlam tetap tenang dengan senyuman.
"Faham?"
tanya Ahlam. Hawa tergelak kecil. Dia melepaskan pelukan. Matanya
menatap wajah Ahlam. "Faham," balasnya. Memang sudah
menjadi tabiat Ahlam untuk bertanya kefahaman dia apabila selesai
berbicara. Kata Ahlam, apalah guna seribu perkataan yang baik, andai
satu pun tidak difahami. Alangkah kuatnya satu perkataan yang buruk,
andai itu masuk ke dalam hati.
Ahlam menutup mata,
menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan. Di fikirannya
hanya mengharap redha ALLAH. Dia menghilangkan dunianya,
menyendirikan roh bersama KHALIQ.
Dia berdoa dengan nama
ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah,
"Mudah-mudahan,
TUHANku memimpin aku ke jalan yang benar. (al-Qasas: 22)
Ya TUHANku,
anugerahkanlah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMU yang telah
ENGKAU anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar aku
mengerjakan kebajikan yang ENGKAU redhai, dan masukkanlah aku dengan
rahmatMU ke dalam golongan hamba-hambaMU yang soleh. (an-Naml: 19)"
Ahlam membuka mata usai
berdoa. Dia tersenyum melihat Hawa dihadapannya. Dia masih di dunia,
bisik hati kecilnya.
Teringat dia akan
kata-kata gurunya yang dikasihi, "Apakah ada ketenangan bagi
pencinta sebelum berjumpa yang dia cintai?
Comments
Post a Comment
بسم الله الرحمن الرحيم