Hari.
Assalamualaikum.
Sekadar, nak post sesuatu.
Dah lama tak menulis.
Hanya copy paste dari yang lama-lama.
Hati, berlama-lama.
*****
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah
Sallallahua'laihiwassalam.
Hasil karya, Amirah Hazwani.
Hari.
Peluh yang memercik di dahi dikesat menggunakan lengan
baju. Cangkul di tangan di letakkan di tepi. Dia duduk bersandar di
pohon berdekatan. Pohon yang rendang itu melinndungi dia dari cahaya
matahari yang terik. Petang itu panas sekali. Sudah beberapa kali dia
meneguk air dari dalam botol yang dibawa. Dia memejamkan mata, ingin
berehat. Buat beberapa ketika dia kekal dengan posisi begitu.
Ketengangan menggamit hati sambil dia berzikir.
“Abang,” satu suara memanggil.
Dia tersenyum, matanya masih tidak dibuka. Saja dia
menduga kesabaran tuan punya suara.
“Abang,” suara itu mengulang lagi panggilan. Kali
ini lebih kuat dari sebelumnya.
Dia terasa lengan bajunya ditarik-tarik. Di dalam
kegelapan dia cuba membayangkan adik kesayangannya berusaha untuk
membuatkan dia sedar. Beberapa saat kemudian, tarikan terhenti. Dia
mendengar suara kecil mengeluh.
“Assalamualaikum, abang,” suara itu mengulang
panggilan namun kali ini memberi salam.
Dia membuka mata. “Wa'alaikumussalam,” balasnya. Dia
melihat dihadapannya seorang anak kecil berumur 5 tahun sedang duduk
bersila. Melihat dia membuka jua mata akhirnya, anak kecil itu
mengukir sebuah senyuman. “Ini ummi bagi makanan,” katanya sambil
menghulurkan bungkusan plastik berwarna oren. Dia menerima huluran
dan melihat isi kandungannya walaupun dia sudah menganggak apa yang
terkandung. Saban hari dia hanya akan menjamah nasi kosong bersama
telur goreng untuk makan malam. Pada waktu pagi pula, sebelum ke
kebun atau ke tempat kerja, dia akan mengalas perut dengan dua keping
roti. Itulah makanan hariannya setiap hari.
“Ummi minta maaf,” sambung adiknya itu. Dia kembali
mengalihkan pandangan kepada adiknya. “Kenapa pula?” tanya dia
sedikit hairan. “Tadi jiran sebelah beri ayam masak kicap, kesukaan
abang. Tapi, angah, acik dan alang dah habiskan. Ummi tak sempat nak
simpankan,” jawab adiknya. “Adik pun makan,” sambungnya lagi
lalu menundukkan kepala. Dia tersenyum memandang teletah adiknya
terasa sedikit lucu. Tangan kanannya diletakkan di atas kepala Ain
lalu diusapnya. “Tak mengapa, abang dah tak suka makan ayam masak
kicap,” balasnya untuk menenangkan hati. Hakikatnya, dia sudah lama
tidak menjamah lauk itu. Sekiranya mempunyai rezeki lebih, dia lebih
rela memberikannya kepada adik-adiknya dan ummi.
“Jom, teman abang makan,” dia mengajak Ain. Ain
menganggukkan kepala lantas duduk di sebelah abangnya dan
menyandarkan kepalanya di bahu Aiman. Suasana sepi seketika. Aiman
menyuapkan butir-butir nasi ke dalam mulutnya. Dia memulakan dengan
Bismillah, dan apabila makanannya sudah habis, dia mengucapkan
Alhamdulillah. Aiman membuka zip beg di sebelahnya lalu mengeluarkan
kayu sugi. Dia bersiwak.
“Abang,” panggil Ain.
Aiman meletakkan kembali kayu suginya ke dalam beg. “Ya,
Ain,” balasnya. “Kenapa matahari panas sangat?” tanya Ain.
Matanya terarah ke atas langit. Tangannya digunakan untuk menahan
silauan panah cahaya matahari. “Sebab Allah dah jadikan sifat
matahari itu panas,” balas Aiman. Dia juga turut melakukan yang
sama seperti Ain, melihat matahari. “Tapi tak boleh ke Allah
jadikan matahari sejuk sedikit?” tanya Ain lagi. Aiman tersenyum
lebar, menahan ketawa. Sememangnya adiknya yang bongsu itu banyak
bertanya.
“Kalau Allah jadikan matahari sejuk sedikit, nanti
kesannya kepada bumi sangat besar. Ada tumbuhan yang tak akan mampu
hidup, baju di jemuran tidak akan kering, peluh pun mungkin tak
keluar,” jawab Aiman. “Kalau Allah jadikan matahari sejuk
sedikit, mungkin Ain akan bertanya pula, kenapa Allah tak jadikan
matahari panas sedikit?” sambungnya lagi.
Ain mengerutkan dahi. Dia berfikir sendiri. “Macam
mana matahari boleh dapat nama? Mata dan hari. Kenapa tak bagi nama
bebola api ke, bulatan oren ke,” katanya sambil membuat gaya
seperti orang sedang berfikir. Dia menggaru kepalanya yang tidak
gatal setelah beberapa ketika. Soalannya sengaja dibiarkan tidak
berjawab oleh Aiman. Dia sendiri mahu berfikir dahulu sebelum
memberikan jawapan.
“Adik rasa kenapa nama adik Ain?” tanya Aiman pula.
“Sebab ummi dan arwah abah yang bagi,” balas Ain pantas. Itu
soalan yang mudah baginya. “Macam mana pula boleh ummi dan arwah
abah terfikir nak bagi nama adik dengan nama Ain?” tanya Aiman
lagi. “Tak tahu,” jawab Ain ringkas. “Ain, semua perkara ini
berlaku ada sebabnya,” balas Aiman. “Tidak ada perkara yang
berlaku tanpa sebab. Walaupun kita tak tahu, bukan itu tandanya
tiada. Itu tanda ilmu kita masih sedikit,” tambahnya lagi. “Abang
tahu kenapa adik diberikan nama Ain?” tanya Ain pula. “Sebab
Allah yang bagi ilham,” jawab Aiman.
“Malah, nama untuk matahari pun Allah yang bagi ilham,
tiada siapa yang menciptanya melainkan Allah semata-mata,” jelas
Aiman panjang lebar supaya Ain mampu memahami. Ain menganggukkan
kepala. Entah faham atau tidak, Aiman tidak tahu.
“Kenapa Allah ciptakan matahari besar? Kenapa matahari
tak kecil sahaja?” tanya Ain. Dia mula bermain-main dengan rumput
menggunakan jari-jemarinya. Pernah satu ketika dahulu dia mencabut
rumput-rumput di situ namun dihalang oleh Aiman. Aiman
mengingatkannya bahawa jika tiada keperluan untuk mencabut rumput dan
jika tidak memudaratkan bagi tanaman mereka untuk tumbuh, tiada
alasan untuk mencabutnya. Dia juga ingat pesanan Aiman bahawa bukan
mereka sahaja yang hidup di dunia. Segala-galanya hidup, diciptakan
oleh Tuhan Yang Maha Esa.
“Kenapa Allah ciptakan abang lelaki dan adik
perempuan?” tanya Aiman pula membalas pertanyaan Ain. “Abang, tak
baik jawab soalan dengan soalan,” Ain berpesan. Jari-jemarinya kini
beralih ke pohon bunga kertas di sebelahnya. Aiman hanya memerhati
tingkah laku adiknya. “Maaf sebab abang tak mampu jawab secara
saintifik sebab adik tahu abang pun tak habis sekolah. Cumanya, pada
pendapat abang, jika matahari tidak diciptakan sebagaimana ia
sekarang, maka mungkin suhu bumi juga tidak seperti apa yang kita
rasa sekarang. Allah menciptakan sesuatu dengan ilmuNya yang tidak
terhingga dan hanya dimiliki olehNya. Jika kita buat perbandingan,
ilmu manusia walaupun sepandai mana hanya setitis dari air di lautan.
Malah, lebih banyak lagi,” jawab Aiman jujur. Dia cuba mencari kata
untuk menjelaskan perkara itu kepada adiknya. Dia telah berhenti
bersekolah sejak tamat PMR untuk bekerja dan menyara keluarga.
Ayahnya meninggal dunia pada tahun itu di dalam satu kemalangan
ketika sedang membonceng motosikal rakannya semasa dalam perjalanan
ke pekan.
“Ain, kita tahu semua perkara ada sebab, semua perkara
ada hikmah. Seperti mana abang diciptakan menjadi lelaki, menjadi
abang kepada Ain dan anak kepada ibu dan abah. Kadang-kadang, kita
tak akan faham sebab mengapa sesuatu berlaku, sehinggalah Allah
memberi kita ilham,” sambung Aiman setelah melihat tiada respon
daripada Ain.
Ain memandang Aiman. Dimatanya melihat seorang abang
yang sudah menjaganya sejak kecil. Kata orang, muka abangnya seiras
muka arwah abah. Ain tidak pernah bertemu dengan arwah abah kerana
dia masih di dalam kandungan. Kata orang, Ain anak yatim. Tapi dia
tidak pernah berasa begitu. Dia ada ibu, ada abang dan adik-beradik
yang lain. Sekurang-kurangnya, dia ada keluarga dan juga Allah.
Air matanya mula bergelinang namun cuba ditahan daripada
jatuh membasahi bumi. “Jadi, satu hari nanti Ain akan faham kenapa
Ain tak sempat jumpa abah?” tanya Ain. Aiman terdiam seketika. Dia
tidak menyangka Ain akan bertanyakan hal itu. Tidak dia sangka
adiknya itu akan bertanya sesuatu yang serius tatkala usia masih
muda. Dia hanya sekadar menganggukkan kepala, mengiakan apa yang
ditanya. Pandangan kini dilontar jauh ke arah kebun yang diusahakan
dengan titik peluhnya sendiri. Tidaklah besar mana namun masih mampu
menjana pendapatan untuk menyara hidup keluarga selain dari bekerja
di kilang berdekatan. Aiman sedar dia tidak mampu ke mana. Tidak
mampu untuk memegang jawatan yang tinggi kerana kekurangan kelayakan
dari sudut akademik. Mahupun begitu, dia bersyukur kepada Allah.
Sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya.
“Katakanlah, tidak sama yang buruk dengan yang baik,
meskipun yang buruk itu menarik hatimu, maka bertakwalah kepada Allah
hai orang-orang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan,” pantas
Aiman mengucapkan tafsir ayat ke-100 dari surah Al-Ma'idah sejurus
mengingatinya. Dia memandang Ain kembali. “Ain rasa Ain kekurangan
ke tiada abah?” tanya Aiman. Ain menggelengkan kepala. “Kenapa
Ain tak rasa ada kekurangan?” tanya Aiman lagi. “Sebab Ain dah
reda. Ain faham bahawa Allah lebih menyayangi abah,” jawab Ain.
“Begitulah, sepertinya matahari. Ain rasa kekurangan ke matahari
wujud?” tanya Aiman. Sekali lagi Ain menggelengkan kepala. “Tidak,
tapi Ain cuma berniat untuk bertanya perkara yang mungkin terjadi
jika sesuatu diciptakan dengan cara yang lain,” balas Ain.
“Jadi, jika benar matahari diciptakan lebih kecil atau
lebih sejuk, ada kemungkinan Ain juga akan bertanya perkara yang
sebaliknya,” balas Aiman. “Kadang-kadang, ada perkara yang perlu
ditanya, ada yang tidak perlu. Contohnya seperti kenapa abang
berehat, jawabnya kerana abang penat. Jawapan mudah, tapi masih akan
ada yang mempersoalkan. Abang cuma harap, Ain akan pandai menilai
soalan mana yang sesuai dan perlu untuk ditanya dan dibahaskan.
Tambahan pula, Ain kena pandai memilih orang untuk ditanya,” tambah
Aiman.
Ain tidak membalas apa-apa. Dia hanya mendiamkan diri
sambil bersandar kembali pada abangnya. Aiman juga menyepikan diri.
Memang kebiasaan Ain jika berfikir akan diam.
Aiman terbatuk-batuk, tangannya mencengkam dada. Ain
disebelahnya sudah tertidur. Di bibirnya terasa basah, dia mengelap
menggunakan kain. Tidak dia sedari, kain yang putih itu kini
bertompok merah. Aiman melelapkan mata, ingin tidur bersama Ain.
*****
“Ain.”
Dia mengangkat muka. Badannya terasa lenguh. Dia melihat
ke sebelah kiri, abangnya sudah tiada. Dia ragu sama ada dia telah
tertidur atau pun tidak sepanjang dia berfikir tadi. “Ain,”
panggil suara itu lagi. Kelihatan seorang wanita berumur dalam
lingkungan 20-an menghampiri. “Ain buat apa di sini?” tanya
wanita tersebut. Ain mengerutkan dahi, cuba mengenali siapa wanita
dihadapannya itu. “Ain borak dengan abang,” jawabnya. “Abang?
Ain borak dengan Azman? Tapi Azman ada di rumah,” balas wanita
tersebut sedikit hairan. Ain menggelengkan kepala. Dia tidak memahami
kenapa nama abang keduanya pula disebut.
“Tak, Ain borak dengan abang Aiman,” jawabnya. Dia
mendengar suara yang pelik. Bait-bait perkataan daripada dia tapi
suara itu bukan miliknya. Tangannya memegang leher. “Kenapa suara
Ain pelik?” bisiknya sendiri. Wanita dihadapannya itu tiba-tiba
menitiskan air mata. Ain bertambah hairan. “Kenapa kakak menangis?”
tanya Ain. Dia memegang bahu wanita tersebut. Seketika kemudian dia
menarik tangannya kembali. Dia melihat kedua tapak tangannya. “Kenapa
tapak tangan Ain besar? Ain baru lima tahun,” bisiknya lagi kepada
diri sendiri.
“Ain, abang Aiman dah tiada. Ain dah lima belas tahun.
Abang Aiman meninggal dunia sepuluh tahun lepas,” kata wanita
dihadapannya itu dalam esakan. “Ini kak Lang, Ain,” sambungnya
lagi. “Tapi Ain baru tanya abang tentang matahari,” bantah Ain
sambil jarinya menunjuk ke arah langit. Dia melihat langit. Matahari
tiada, terlindung di sebalik awak. Seingatnya tadi, matahari memancar
terik.
Dia memandang tangannya kembali. Wanita yang mengaku
dirinya kak Lang itu mengambil tangannya lalu memimpin dia berjalan
jauh dari pohon itu. Ain mengikut sahaja. Dia tidak faham dan tidak
mahu memahami. Sepuluh langkah kemudiannya, dia memalingkan muka ke
arah pohon itu kembali. Lalu dia melihat langit sekali lagi, matahari
tetap tiada. Bersembunyi.
*****
Wallahua'lam.
Comments
Post a Comment
بسم الله الرحمن الرحيم