Pertama.

Assalamualaikum.

Saya tak pernah menulis maklumat di blog ini di dalam Bahasa Melayu sebelum ini. Bukan bermaksud saya tidak menyayangi apatah lagi menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda, tetapi kerana kasih sayang dan rasa hormat sayalah, saya tidak mahu membuat kesilapan di dalam penulisan Bahasa Melayu saya di sini. Secara amnya, saya tidak mahu pembaca yang sudi 'menjenguk' blog saya terpengaruh dengan bahasa pasar ataupun bahasa rojak yang sering saya pertuturkan dalam kehidupan seharian saya.






Hmm, sudah lama saya tidak menulis. Apay yang perlu diperkatakan?

Kehidupan seharian sejak kebelakangan ini sangat sibuk.

Dan sejak kebelakangan ini juga, hati saya kerap kali tersentuh.

Salah seorang guru saya berkata:

"Amirah, awak macam anak saya. Selalu gembira, seperti tiada masalah."

Betulkah?

Dengan hanya menaip di sini, saya sudah mahu menangis.

Semalam, seorang guru memegang tangan saya dan berjalan beriringan dengan saya buat seketika.

Adakah saat itu akan berulang?

Dua insan, walaupun tidak rapat dengan saya, seorang nenek tiri saya dan seorang lagi bekas rakan sekolah ayah saya, sudah menyambut seruan Illahi.

Bilakah waktu saya?

Tidak bermaksud saya meminta dipendekkan umur. Tetapi, sebagai peringatan untuk diri sendiri.

Dua hari lalu, saya, Aisyah dan Mursyidah berlari bersama-sama. Gembira apabila Mursyidah dibenarkan mengikut lawatan. Semalam, kami sekali lagi berjalan bersama-sama.

Selepas tamat SPM, saya akan ke Jepun (InsyaAllah), Mursyidah akan pulang ke Indonesia dan Aisyah akan berada di Malaysia. Adakah sepuluh tahun lagi kami akan masih seperti semalam dan kelmarin?

Yang terakhir, yang membuatkan saya hampir menangis (saya pandai menahan air mata :D),

Meor Alfarid.

Benar, saya tidak mengenali dia sama sekali.
Benar, dia juga tidak mengenali saya.

Tetapi kisah dia dan rakan-rakannya, amat memberi kesan kepada diri saya.

Saya tidak mengetahui kisah Meor secara spesifik, jadi saya tidak mahu menaip di sini. Saya tidak mahu menyampaikan ayat-ayat yang salah yang mungkin akan melukakan hati anda.

Apa yang saya mahu katakan adalah, hari yang berlalu semakin sukar untuk ditempuhi. Bukan kerana SPM yang semakin menjelang, tetapi kerana tahun terakhir yang semakin menutup tabir. Anda mungkin tidak merasakannya sekarang, tapi anda akan mengalaminya suatu masa nanti. Ada juga yang pernah merasakannya, tetapi rasa itu tetap tidak sama. Tiada siapa dapat mengatakan dengan benar, "Aku faham apa yang kau rasa," kerana rasa setiap manusia setiap saat itu berlainan. Hanya manikam yang mengenal jauhari. Jadi, tidak mungkin semua orang memahami satu sama lain.

Tidak mungkin, anda mengenal saya sedangkan saya tidak mengenal diri sendiri.

Mungkin secara psikologi, seseorang itu akan mengatakan saya tidak sempurna kerana tidak mengenal diri sendiri. Tetapi, saya tidak merasakan begitu. Saya merasakan pengetahuan saya tentang diri saya sudah cukup buat masa ini. Selebihnya, saya biarkan saja manusia di sekeliling saya menilai. Adakah salah saya berfikir sebegini? Saya tidak tahu jawapannya.


Comments

Popular posts from this blog

Tips Kewangan Houseman - Langkah Pertama.

Majmu' Syarif.

Tips Kewangan Houseman - Langkah Kedua.